Archive for the ‘Parliament’ category

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA

August 8, 2012

PERTANYAAN                      :      JAWAB  BUKAN  LISA

 DARIPADA                             :     DR. S. RAMAKRISHNAN  

 Dr. S .Ramakrishnan  minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAN  menyatakan  adakah Kementerian  mempunyai perancangan untuk mewartakan  Johor Ancient Temple di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru sebagai tapak warisan negara kerana di kawasan tersebut terdapat banyak pusat keagamaan yang terdiri daripada pelbagai agama seperti Kuil Sikh ( yang berusia lebih daripada 200 tahun), kuil Hindu, dan juga Masjid India Muslim. 

JAWAPAN:

Yang Berhormat, Kuil Johor Bahru, Kuil Sikh, Kuil Hindu dan juga Masjid India Muslim di persekitaran Jalan Wong Ah Fook sehingga ke Jalan Dobi Johor Bahru, didapati mempunyai kesan aktiviti keagamaan dan hubungan sosiobudaya etnik. Walau bagaimanapun, penyelidikan yang telah dijalankan oleh pihak Kementerian ini melalui Jabatan Warisan Negara ke atas bangunan-bangunan tersebut menunjukkan terdapak banyak perubahan fizikal dari segi fasad serta tidak lagi menampilkan signifikan keaslian dan integriti warisannya. Oleh yang demikan,ia tidak dapat diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.    

bagi tujuan pewartaan sebagai Warisan atau Warisan Kebangsaan, ia mesti memenuhi kriteria yang dinyatakan pada Seksyen 67 (2), Akta Warisan Kebangsaan 2005 seperti ciri-ciri rekabentuk atau estetik, keunikan, pembaharuan saintifik atau teknikal, hubungan sosial atau kebudayaan dan kepentingan sejarah.  Dalam pewartaan bangunan atau tapak, aspek fizikal bangunan atau tapak juga akan diambil kira yang mana ia perlu memiliki keaslian dan integriti yang mencerminkan warisan.

Advertisements

PERTANYAAN : JAWAB BUKAN LISAN

August 8, 2012

DARIPADA                             :      YB  DR. S. RAMAKRISHNAN   A/L

                                                          SUPPIAH

 TARIKH                                  :      10.07.2012

 Minta  MENTERI  KEMAJUAN  LUAR BANDAR  DAN  WILAYAH  menyatakan:- Menyatakan adakan benar Orang Asli diarahkan supaya memeluk agama Islam jika mahu sebarang keistimewaan atau memegang sesuatu pangkat yang tinggi dalam Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). 

JAWAPAN:  

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, penyataan bahawa Orang Asli diarah memeluk agama Islam dan akan diberi keistimewaan jika memeluk agama  Islam adalah tidak benar sama sekali. Jabatan Kemajuan Orang Asli yang ditubuhkan  tahun 1954 adalah khusus bagi menjaga kepentingan Orang Asli sejajar dengan peruntukan yang dinyatakan  Akta 134 ( Akta Orang Asli 1954), iaitu suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli di Malaysia Barat. Berhubung dengan agama yang dianuti, Kementerian ini tidak pernah menghalang masyarakat Orang Asli bagi menganuti apa-apa agama atau terus berpegang kepada kepercayaan moyang mereka, asalkan ianya tidak mengganggu gugat atau memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat Orang Asli.

Berkaitan dengan persoalan Yang Berhormat mengenai keistimewaan kepada masyarakat Orang Asli yang beragama Islam serta peluang menjawat jawatan tinggi dalam Jabatan Kamajuan Orang Asli, adalah suatu kenyataan yang tidak berasas dan tidak benar. Untuk makluman Yang Berhormat,  Jabatan Kemajuan Orang Asli adalah merupakan salah satu Jabatan Persekutuan, di mana urusan perlantikan pegawai dan anggota adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Awam ( SPA ).

Manakala urusan kenaikan pangakat adalah tertaluk di dalam Perintah Am, Peraturan – Peraturan Pegawai Awam ( Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005, seta pekeliling-pekeling yang dikeluarkan oleh awam dari masa semasa. untuk makluman Yang Berhormat juga, dalam mempertimbangan urusan kenaikan angkat pegawai sama ada Orang Asli atau sebaliknya faktor  keturunan serta pegangan agama tidak diambilkira, sebaliknya kelayakan serta keupayaan pegawai akan dinilai oleh pihak tertentu yang mempunyai bidang kuasa berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam yang telah dinyatakan.

 

Dewan Negara Sesi Julai 2012: Ucapan Penangguhan Mengenai Dasar Ladang Kelapa Sawit Untuk Menyokong Penternakan

July 26, 2012

DEWAN NEGARA SESI JULAI 2012

 

Ucapan Penangguhan Mengenai Dasar Ladang Kelapa Sawit Untuk Menyokong Penternakan – 10 Julai 2012

 

 

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana beri peluang kepada saya untuk memberi ucapan penangguhan.

 

Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat, sekejap ya? Kerana nama-nama yang telah dihantar kepada saya untuk membahaskan usul-usul dari segi perbelanjaan tadi, boleh berucap esok dan semua – kalau ada antara lain yang masih hendak bercakap esok, sila kemukakan nama sekarang ini.  Kalau esok saya tidak terima lagi dah, hanya akan menyudahkan semua ada lebih kurang sepuluh orang lagi hendak berucap, maka kita hendak sambung esok kepada mereka yang masih belum berucap dari segi perbekalan. Sekian terima kasih. Silakan Yang Berhormat.

 

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana beri peluang kepada saya untuk memberi ucapan penangguhan mengenai dasar berkaitan ladang kelapa sawit untuk menyokong aktiviti penternakan. Kawasan-kawasan tanah luas yang digunakan bagi penanaman kelapa sawit menghalang pengeluaran makanan oleh petani tempatan untuk mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan. Kerajaan berpuas hati memandangkan ladang-ladang kelapa sawit ini menghasilkan pendapatan yang tinggi, disebabkan itu kawalan dan jaminan makanan telah jadi kurang penting.

 

Amalan ini tidak mampan dalam jangka masa panjang, perlu ada keseimbangan antara tanaman komersial dan makanan sara diri, pengurusan estet seperti Sime Darby, KL Kepong dan Achi Jaya tidak menggalakkan aktiviti penternakan haiwan oleh pekerja. Ini mengehadkan pengeluaran susu tempatan dan tenusu yang lain, memandangkan ladang-ladang kelapa sawit menguasai tanah yang luas, ia mesti digunakan untuk lebih daripada  satu tujuan yang akan melengkapi tanaman kelapa sawit.

 

Saya menyeru kementerian untuk menggalakkan ladang-ladang kelapa sawit untuk membenarkan penternakan lembu di ladang-ladang dan  kawasan pertanian. Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan dan menyokong ladang-ladang kelapa sawit untuk membenarkan dan menggalakkan aktiviti ternakan dan tanaman sayur-sayuran. Saya mendapati hanya FELDA membenarkan ternakan lembu, tetapi ladang-ladang besar termasuk GLC, tidak menggalakkan ternakan lembu dan pengeluaran pertanian dalam estet.  Ladang-ladang besar memiliki tanggung jawab sosial korporat kepada pekerja-pekerja dan masyarakat tempatan untuk mengaut lebih keuntungan, mereka mengimport pekerja asing dan menggantikan pekerja tempatan.   Jika pekerja tempatan dibenarkan untuk menjalankan  aktiviti penternakan dan pertanian sebagai pendapatan tambahan disebabkan upah yang rendah, maka lebih ramai orang tempatan akan bekerja di ladang-ladang. Bandar Kecil Chaah, Johor dikelilingi oleh ladang-ladang Achi Jaya.

Petani tidak mempunyai tempat untuk pertanian dan memelihara haiwan-haiwan ternakan untuk perladangan tenusu. Kerajaan perlu memantau situasi ini dan melihat ladang-ladang kelapa sawit tersebut tidak membenarkan pekerja menternak  haiwan. Malaysia telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport tenusu dan daging import. Perbelanjaan mata wang asing ini boleh disimpan dengan menggalakkanpengeluaran tempatan. Bolehkah kementerian memaklumkan perbelanjaan setiap tahun untuk mengimport susu, produk tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran. Berapakah jumlah produk-produk ini dikeluarkan dalam negara?

 

Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan pengeluaran produk tempatan? Bolehkah Menteri memberikan data berkenaan pengimportan makanan terkini dan lima tahun yang lalu? Adakah kerajaan telah menambah baik teknologi untuk menjadi lebih efisien dan meningkatkan kualiti produk-produk ini di peringkat daerah, veterinar tempatan dan jabatan Pertanian perlu menggalakkan lebih banyak pengeluaran makanan. Veterinar dan jabatan pertanian mesti menjadi pengantara rundingan antara pekerja dan pengurusan estet supaya mereka boleh menggunakan tanah yang sama untuk lebih daripada satu tujuan.  Multinasional Corporation boleh bermula dalam skala besar pertanian buah-buahan tetapi petani tempatan tidak mendapat sokongan kerajaan, boleh Menteri jelaskan? Terima kasih.

 

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat menjawab.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II [Datuk Chua Tee Yong]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada ucapan penangguhan daripada Yang Berhormat Senator.

 

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani sentiasa menggalakkan penglibatan ladang-ladang kelapa sawit dalam aktiviti penternakan lembu secara integrasi, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perusahaan Perladangan Komoditi telah mengadakan kerjasama melalui perbincangan mengenai perkara ini dan pada dasarnya bersetuju untuk menyediakan satu garis panduan yang seragam dan bersepadu bagi melaksanakan aktiviti ini. Bagi menyahut hasrat kerajaan untuk menggalakkan pelaksanaan aktiviti ini, MoA iaitu Kementerian Pertanian melalui Entry Point Project (EPP5) penternakan lembu secara integrasi di bawah NKEA pertanian telah melibatkan sebanyak 25 buah ladang kelapa sawit di seluruh Malaysia untuk menjalankan penternakan lembu secara integrasi. Keseluruhan projek ini melibatkan keluasan ladang seluas 543 ribu hektar dan sebanyak 5,355 ekor lembu.

 

Kerajaan menyasarkan sebanyak 300 ribu ekor lembu  boleh diternak menjelang tahun 2020 yang meliputi lembu daging dan lembu baka. Dalam hal ini juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pemilik-pemilik ladang menternak lembu atau kambing di ladang sawit kepunyaan mereka disebabkan tanah ladang sawit tersebut adalah hak milik persendirian.  Walau bagaimanapun, NPIC melalui Agensi Ladang Minyak Sawit Malaysia telah menggalakkan pemilik-pemilik ladang untuk melaksanakan aktiviti peneternakan dan turut mengesyorkan kaedah menternak lembu serta kambing yang berdaya maju dari segi teknikal dan ekonomi iaitu melalui sistem ragutan bergilir.

 

Saya juga tertarik dengan ucapan penangguhan Yang Berhormat Senator yang mengatakan di kawasan bandar kecil Chaah, Johor, petani tidak mempunyai tempat untuk pertanian dan memelihara haiwan ternakan. Sebenarnya saya telah mendapat surat daripada Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, daripada pengurusnya yang mengatakan bahawa terutamanya di kawasan Ladang Sungai Gechang adalah salah bahawa terdapat tuduhan di mana pihak ladang tidak membenarkan untuk memelihara ternakan lembu kerana ia adalah tidak berasas sama sekali.

 

Mereka telah memberi keputusan kepada pekerja-pekerja supaya terlibat dalam kegiatan ternakan dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.  Oleh itu saya harap Yang Berhormat kalau mempunyai  masa, boleh berjumpa dengan pengurus untuk mendapatkan maklumat yang selanjutnya.

 

Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan statistik kementerian bagi tahun 2007 hingga 2011, jumlah import susu dan produk tenusu ke Malaysia adalah seperti berikut:

 

Produk-produk yang diimport adalah termasuk penghasilan tenusu, krim, tepung, dan isian lemak manis.

 

Pengeluaran susu tempatan selama tempoh tersebut pula adalah seperti berikut:

 

 

 

Tahap sara diri bagi komoditi susu pada tahun 2011 adalah pada 5% dengan kadar pertumbuhan diunjurkan sebanyak 5.8%. Bagi meningkatkan peningkatan susu tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan program cluster tenusu di bawah NKEA di bawah National Key Economic Area, dengan izin, pertanian di mana entry point project 13 di mana penternak-penternak diberi bantuan baka lembu tenusu dan peralatan berkaitan.

 

Sebenarnya dari segi jumlah keseluruhan nilai import bahan makanan negara pada tahun 2011, ia adalah berjumlah RM34.5 bilion tetapi eksportnya pula adalah RM20 bilion. Pada tahun 2007, nilai import adalah sebanyak RM26 bilion tetapi dari segi eksport adalah sebanyak RM15.7 bilion. Maka dari segi imbangan dagangan di antara 2011 dan 2007 adalah sebanyak satu adalah RM13 bilion dan satu lagi kalau tidak salah adalah sebanyak RM10 bilion.

 

Daripada nilai import tahun 2011, sebanyak 18.7% adalah merupakan jumlah nilai import untuk susu dan hasil susu, sayur-sayuran serta buah-buahan. Import buah-buahan telah meningkat daripada RM800 juta pada tahun 2007 kepada RM1.6 bilion pada tahun 2011 kerana jenis-jenis buah-buahan yang diimport adalah buah-buahan yang tidak economic atau tidak sesuai untuk dihasilkan dalam negara kita seperti epal, oren, limau mandarin, pear, anggur dan kurma.

 

Sementara itu, peningkatan nilai import sayuran adalah daripada RM1.9 bilion pada tahun 2007 kepada RM7.1 bilion pada tahun 2011. Namun demikian, di sebalik kenaikan import bahan makanan tersebut, pengeluaran komoditi makanan utama masih mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan iaitu pada kadar 5.5% setahun bagi tempoh 2007 hingga 2011 walaupun berhadapan dengan berbagai krisis di peringkat global termasuk krisis minyak dan kewangan yang telah meningkatkan kos pengeluaran makanan.

 

Pengeluaran susu telah menunjukkan pertumbuhan yang baik pada kadar 9.3% sepanjang lima tahun tersebut iaitu daripada 51 juta liter kepada 88 juta liter.  Pada masa itu, pengeluaran sayur-sayuran juga mencatatkan peningkatan pada kadar 7.1% dan juga buah-buahan meningkat daripada 1.4 juta tan metrik kepada 1.7 juta tan metrik. Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha bagi menambah baik penggunaan teknologi dalam penghasilan produk-produk pertanian termasuklah produk tenusu.

 

 

Pelbagai strategi dan langkah telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara dan juga meningkatkan pengeluaran makanan negara. Ini termasuk pelaksanaan projek berimpak besar seperti Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zone Industrial Agriculture (ZIA), Ladang Kontrak dan Pembangunan Usahawan Asas Tani serta Entry Point Project di bawah NKEA pertanian.

 

Selain daripada itu, tanah pertanian akan digunakan secara optimum di mana kawasan

tanaman semula kelapa sawit akan dibangunkan dengan tanaman selingan singkat masa seperti pisang, nanas, tembikai serta menjalankan produk integrasi ternakan di kawasan perladangan industri. Penyelidikan dan pembangunan pula ditumpukan kepada R&D bagi peningkatan hasil secara mampan. Antara bidang tumpuan R&D adalah pembangunan variety dan baka, pengeluaran benih, pengeluaran makanan ternakan dan agriculture serta bioteknologi.

 

Kementerian juga akan terus membangunkan sistem rantaian bekalan makanan yang lebih terangkum dan kukuh dengan penglibatan kerajaan, pihak swasta serta petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dengan permintaan pemasaran, meningkatkan aktiviti nilai tambah serta mengurangkan risiko perniagaan. Selain usaha daripada pihak kerajaan, inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara memerlukan penglibatan aktif pihak swasta.

 

Bagi menggalakkan pihak swasta untuk terus melabur dalam pengeluaran makanan, insentif fizikal termasuk pelaburan semula dan baru dicadangkan diperluaskan meliputi semua aktiviti pengeluaran dan pemprosesan. Pinjaman mudah yang mencukupi akan disediakan melalui Agro Bank dan TEKUN dan akses kepada pembiayaannya akan diperbaiki. Sekian terima kasih.

 

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, usul penangguhan sebagaimana yang dikemukakan oleh Yang Berhormat tadi hendaklah disetujukan.

 

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

Dewan Negara Sesi Julai 2012: Ucapan Penangguhan Mengenai Kolej Matrikulasi

July 26, 2012

DEWAN NEGARA SESI JULAI 2012

 

Ucapan Penangguhan Mengenai Kolej Matrikulasi – 10 Julai 2012

 

Dr. S. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana beri peluang untuk memberikan ucapan penangguhan.  Saya minta penjelasan daripada Menteri Pendidikan mengenai kolej matrikulasi yang terdapat di Malaysia dan di manakah lokasi kolej-kolej ini? Apakah kapasiti pelajar-pelajar untuk setiap kolej? Sejak penubuhan kolej matrikulasi pada tahun 2002 hingga tahun 2012, berapakah jumlah pelajar yang mengikuti program pra universiti dan menyambung program ke universiti.

Apakah pecahan pelajar-pelajar kolej matrikulasi dari tahun 2002 hingga 2012 mengikut kaum? Apakah kursus atau program yang ditawarkan di kolej matrikulasi dan nyatakan pecahan khusus mengikut kaum untuk tahun 2002 hingga 2012?  Pada bulan Februari 2012 Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pengambilan pelajar India ke kolej matrikulasi akan ditambah sebanyak 1,000 tempat daripada 500 sebelum ini dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,500 tempat. Berapakah jumlah permohonan yang diterima untuk pengambilan sesi 2012, 2013 mengikut kaum dan berapa ramai daripada permohonan ini telah mendaftar pada pengambilan 2012/2013?

Saya juga ingin tahu pecahan pelajar yang ditolak permohonannya mengikut kaum dan berapa ramai yang telah membuat rayuan? Daripada rayuan dibuat itu berapa ramai yang diterima. Apakah pecahan kaum bagi setiap program matrikulasi untuk pengambilan sesi 2012/2013? Saya juga mohon kerajaan menambah kuota pengambilan pelajar bukan Melayu untuk mengikuti program matrikulasi supaya dapat menaikkan taraf pendidikan negara yang mempunyai berbilang kaum.  STPM adalah hanya satu peperiksaan awam yang hanya mengambil markah terakhir. Akan tetapi kursus matrikulasi mempunyai tugasan, ujian, kuiz dan peperiksaan akhir yang akan dicampurkan bersama sebagai markah akhir.

Kita tidak boleh membandingkan STPM dan matrikulasi kerana kedua-duanya tidak sama taraf. Ia seperti epal dan oren. Akan tetapi bagi unit pemilihan universiti-universiti tempatan A daripada matrikulasi adalah sama dengan A daripada peperiksaan STPM. Jadi pelajar yang dapat 4A dalam matrikulasi adalah sama seperti 4A daripada peperiksaan STPM. Dalam hal ini jelas bahawa pelajar matrikulasi mempunyai kelebihan yang besar dan pengolahan yang lebih berbanding dengan pelajar STPM. Saya juga mohon Menteri menjelaskan mengapa kerajaan menganggap tahap STPM sama dengan matrikulasi? Pada pandangan saya tahap STPM lebih susah berbanding matrikulasi dan minta kerajaan beri lebih keistimewaan kepada STPM.

 

Untuk meningkatkan taraf pendidikan negara adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menyamaratakan STPM dan matrikulasi? Saya harap ini bukan untuk menurunkan taraf STPM sebaliknya kita menaikkan taraf STPM. Terima kasih.

 

 

Timbalan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.

 

Timbalan Menteri Pelajaran I [Datuk Dr. Wee Ka Siong]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Terlebih dahulu Kementerian Pelajaran Malaysia mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan yang membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan kolej matrikulasi dan juga lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya akan memberi ulasan mengenai perkara yang dibangkitkan dengan sebaik mungkin. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah diwujudkan sejak November 1998. Tujuan asalnya adalah untuk meningkatkan penyertaan pelajar bumiputera dalam bidang sains dan teknologi di IPTA.

Namun semenjak tahun 2003, program ini bukan sahaja eksklusif untuk pelajar bumiputera kerana kuota 10% telah pun diperuntukkan untuk pelajar bukan bumiputera. Sejak penubuhannya hingga tahun 2012 bilangan kolej matrikulasi kerajaan telah meningkat kepada 13 buah iaitu setiap satu di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Selangor. Manakala dua buah di Johor, Kedah dan Pahang. Perlu dijelaskan bahawa kapasiti pelajar yang mampu ditampung oleh setiap kolej matrikulasi  adalah berbeza-beza iaitu antara 400 hingga 2,700 orang. Untuk itu jumlah keseluruhannya yang mampu ditampung oleh 13 kolej matrikulasi tersebut pada masa ini adalah seramai 26,700.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan dua jurusan iaitu jurusan sains dan jurusan perakaunan. Sejak tahun 1999 hingga 2011 seramai 220,392 orang pelajar telah mengikuti pengajian ini dan mulai sesi 2003 dan 2004, 10% daripada pelajar yang berdaftar adalah terdiri daripada pelajar bukan bumiputera. Daripada jumlah tersebut 97% pelajar telah berjaya melepasi syarat kelayakan minimum untuk dipertimbangkan tempat di IPTA.

Pada 27 Februari 2012 Yang Amat Berhormat Perdana  Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan 1,000 tempat kepada pelajar kaum India yang menjadikan jumlah keseluruhan tempat sebanyak 1,500. Seramai 4,512 orang pelajar kaum India telah memohon dan daripada jumlah tersebut seramai 1,539 iaitu 34.11% berjaya ditawarkan ke program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi sesi 2012 dan 2013. Satu ribu orang pelajar kaum India telah ditawarkan kepada ambilan pertama yang telah berdaftar pada 28 Mei 2012. Manakala 539 orang lagi akan ditawarkan pada ambilan kedua dan mendaftar pada 13 Jun 2012.

Namun begitu jumlah pelajar kaum India yang berdaftar di 13 buah kolej di seluruh Malaysia pada ambilan pertama iaitu 28 Mei 2012 dan ambilan kedua 13 Jun 2012 hanyalah seramai 943 orang iaitu 61.27%. Rayuan kemasukan telah dibuka pada 25 April hingga 13 Mei 2012. Seramai 34,456 permohonan rayuan telah diterima dan 72.35% iaitu bersamaan 24,929 orang daripada rayuan, daripada pelajar bumiputera dan 27.65% iaitu bersamaan 9,527 orang pelajar bukan bumiputera.

Pada 2 Julai 2012 Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah mengumumkan tawaran khas kepada seramai 557 orang pelajar secara  one-off bagi mengisi kekosongan tempat pelajar kaum India. Proses pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut telah pun dilaksanakan. Surat tawaran akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 11 Julai dan akan mendaftar pada 18 Julai di 13 buah kolej matrikulasi seluruh Malaysia. Dengan langkah-langkah yang dilakukan ini, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap peluang pendidikan untuk semua kaum di negara ini, dan ini juga membuktikan janji ditepati oleh kerajaan yang memerintah sekarang.

Berhubung dengan pengajian di Tingkatan 6, untuk makluman Ahli Yang Berhormat pengajian Tingkatan 6 peperiksaan STPM dan matrikulasi adalah setaraf. Pengajian Tingkatan 6 ialah pendidikan pra universiti yang mempunyai dua fungsi utama. Pertama, pengajian Tingkatan 6 iaitu STPM merupakan tiket untuk masuk ke IPTA dan menyediakan pelajar untuk mengikuti pelbagai kursus. Kedua, sijil STPM juga diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke universiti luar negara. Justeru mereka yang tidak dapat masuk ke IPTA atau memilih untuk tidak masuk ke IPTA masih berpeluang memohon masuk ke universiti-universiti luar sama ada universiti berkembar dalam negara ataupun di luar negara.

Dalam konteks ini, peperiksaan STPM menawarkan pelbagai mata pelajaran seperti mana mata pelajaran bahasa, Sejarah, Geografi, Komputer, Perakaunan, Matematik, mata pelajaran Sains dan pelbagai mata pelajaran lain. Selain daripada itu, peperiksaan STPM ditawarkan bukan sahaja kepada calon sekolah malahan kepada calon-calon persendirian individu kerana dalam pendemokrasian pendidikan, kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi tidak seharusnya berasaskan kepada satu peperiksaan sahaja. Ini biasa digunakan oleh kebanyakan negara.

Pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi mestilah juga menimbangkan calon-calon yang tidak berpeluang masuk ke sekolah bagi mengikuti pendidikan pra universiti.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, sukatan pelajaran STPM dan matrikulasi adalah sama kecuali dari segi cara dan tempoh belajar dan pelaporan keputusan peperiksaannya. Walau bagaimanapun, Kementerian Pelajaran melalui Majlis Peperiksaan (MPM) telah mengambil tindakan dengan merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu secara terminal kepada sistem pentaksiran baharu dengan konsep modular.

 

Usaha ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam bidang

pendidikan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti lepasan sistem pendidikan negara kita. Oleh yang demikian, sistem pentaksiran baharu STPM telah dilaksanakan mulai sesi pengambilan pelajar Tingkatan 6 bawah pada bulan Mei 2012. Maka dengan itu, apa juga kekhuatiran perkara yang telah dibangkitkan telah diambil kira dalam sistem yang baru ini.

 

 

 

Kementerian Pelajaran akan mengkaji dan menyediakan mekanisme dalam usaha melaksanakan transformasi sistem pendidikan Tingkatan 6 dengan memperlihatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM mengikuti pengajian berdasarkan jadual waktu persekolahan yang bukan konvensional seperti yang sedang dilalui pada masa ini. Perubahan besar yang bakal dilakukan oleh kerajaan ialah dengan memisahkan pelajar Tingkatan 6 daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

 

Selain dibesarkan daripada sekolah menengah sedia  ada, pelajar Tingkatan 6 juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza. KPM juga bersedia untuk mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran pendidikan Tingkatan 6 dipendekkan enam bulan lebih awal seperti mana yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi. Penjenamaan semula sistem pendidikan Tingkatan 6 dibuat dengan matlamat untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tersebut sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan di pusat asasi sains.

 

Keperluan mengubah sistem pendidikan itu juga jelas penting untuk menggubah persepsi sebilangan besar masyarakat bahawa pendidikan di peringkat matrikulasi jauh lebih baik berbanding dengan Tingkatan 6. Persepsi berkenaan harus dikikis memandangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sama. Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan Ahli Yang Berhormat berpuas hati dengan penjelasan yang cukup terperinci berkaitan dengan isu yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator. Sekian, terima kasih.

Dewan Negara Sesi Julai 2012: Statistik penerima biasiswa JPA

July 26, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA

 

PERTANYAAN        :           LISAN

DARIPADA               :           DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH                     :           17 JULAI 2012 (SELASA)

 

SOALAN

Dr. S. Ramakrishnan minta PERDANA MENTERI menyatakan statistik penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tahun 2012 mengikut kaum dan pecahan mengikut jurusan atau program pengajian.

 

JAWAPAN: YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ

                        MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

Tuan Yang Di-Pertua,

 

Statistik penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2012 mengikut kaum dan program pengajian adalah seperti berikut:

 

Program

 

 

Bumiputera

 

Bukan Bumiputera

 

Bidang

 

Program Khas Kejuruteraan

180

120

Kejuruteraan
Program Pelajar Cemerlang Lepasan STPM

46

150

Bidang yang diiktiraf oleh Kerajaan mengikut pilihan pelajar di IPT terpilih dalam negara
Program Ijazah Dalam Negara (PIDN)

Penawaran pada bulan Ogos 2012

 

Sekian, terima kasih.

Dewan Negara Sesi Julai 2012: Punca lewat beri status PR kepada masyarakat India di Sabah

July 26, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA

 

PERTANYAAN        :           LISAN

DARIPADA               :           DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH                     :           17 JULAI 2012 (SELASA)

 

SOALAN

Dr. S. Ramakrishnan MINTA MENTERI DALAM NEGERI menyatakan punca kelewatan proses pemberian status Penduduk Tetap (PR) kepada masyarakat India yang telah bermastautin di Sabah lebih dari 40 tahun sementara kerajaan berjaya mendaftar 18,361 pendatang haram semenjak Pendaftaran PATI.

 

JAWAPAN:

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Yang Berhormat Senator, kelulusan taraf Permastautin Tetap di Sabah adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri Sabah. Oleh yang demikian, kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai maklumat mengenai punca kelewatan proses pemberian status Permastautin Tetap kepada masyarakat India yang telah bermastautin di Sabah lebih daripada 40 tahun.

Untuk makluman Yang Berhormat, proses pendaftaran PATI di Sabah di bawah Program 5P bertujuan untuk merekodkan keberadaan PATI di negeri berkenaan bagi tujuan pemantauan dan memudahkan usaha kerajaan untuk membanteras masalah PATI di Sabah.

Dewan Negara Sesi Julai 2012: Statistik Mat Rempit mengikut kaum

July 26, 2012

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA

 

PERTANYAAN        :           LISAN

DARIPADA               :           DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH                     :           12 JULAI 2012 (KHAMIS)

 

SOALAN

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik Mat Rempit yang ditangkap kerana terlibat dengan perlumbaan haram dan gejala sosial yang lain mengikut jantina dan kaum serta apakah punca yang menyebabkan Mat Rempit dan termasuk juga Minah Rempit menjadi semakin liar dan sukar dikawal.

 

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Senator Dr. S. Ramakrishnan yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan Yang Mulia ini, daripada 1,414 jumlah operasi membanteras aktiviti mat rempit dan lumba haram yang telah dijalankan di seluruh negara pada tahun 2011, seramai 467 orang mat rempit telah berjaya ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Daripada jumlah ini, seramai 397 orang mat rempit yang ditahan adalah terdiri daripada kaum Melayu, 49 orang kaum India, 18 orang kaum Cina dan 3 orang lagi lain-lain kaum.

Bagi tahun 2012 (sehingga bulan Jun) pula, jumlah mat rempit yang ditahan adalah seramai 45 orang daripada 492 operasi yang telah dijalankan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 39 orang yang ditahan terdiri daripada kaum Melayu, 3 orang kaum Cina dan 3 orang kaum India.

Antara punca-punca yang menyebabkan mat rempit ini menjadi semakin liar dan sukar dikawal adalah seperti berikut:

1)      Sikap golongan remaja terutamanya yang berumur di antara 14 hingga 25 tahun yang suka menunjuk-nunjuk kemahiran dan keberanian mereka di kalangan rakan sebaya lain tanpa mengira musibah dan bahaya yang bakal dihadapi;

2)      Sikap golongan remaja yang menjadikan aktiviti perlumbaan haram dan samseng jalanan sebagai aktiviti riadah bagi mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan yang mereka alami;

3)      Sikap ibu bapa atau penjaga yang mudah membenarkan anak-anak menunggang motosikal walaupun tanpa lesen memandu;

4)      Kurangnya perhatian daripada ibu bapa dan sikap tidak ambil tahu tentang aktiviti luar serta pergaulan anak-anak di luar rumah;

5)      Masalah tiada pekerjaan/menganggur menyebabkan golongan belia/remaja melakukan aktiviti lumba haram bagi mengisi masa lapang atau mendapatkan hadiah yang ditawarkan terutamanya wang tunai sekiranya menang;

6)      Tawaran hadiah lumayan seperti wang tunai dan wanita/minah rempit sebagai imbuhan kemenangan dan ini juga boleh menyumbang kepada masalah sosial yang lain seperti jenayah rogol; dan

7)      Pengaruh daripada filem-filem dalam dan luar negara yang berorientasikan aktiviti lumba haram.