Archive for the ‘Bills for Enactment’ category

Ucapan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2011

January 6, 2012

Terima kasih Tuan Yang Dipertua yang saya hormati.

Datuk menteri, pindaan ini telah datang lewat dan tidak menyediakan remedi untuk beribu-ribu yang telah membayar untuk rumah dengan pinjaman bank tetapi tiada rumah. Bank-bank masih mengutip bayaran ansuran manakala pemaju perumahan melarikan diri dengan semua bayaran.

1.    18A. (1) Mana-mana pemaju perumahan berlesen yang menyebabkan terbengkalai mesti dianggap satu jenayah. Apakah mekanisma untuk mendakwa mereka yang bersalah yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai?
Bagaimana pindaan baru ini akan memberi manfaat kepada mangsa-mangsa dan pada masa yang sama mereka (mangsa) terus membayar perkhidmatan pinjaman perumahan mereka dan sebahagian daripada mereka menjadi bankrap kerana gagal menjelaskannya?

Denda 250K adalah terlalu rendah, lebih rendah daripada harga rumah satu tingkat di Rawang. Pemaju mesti ketawa. Lihat senario ini. Saya mempunyai 1,000 rumah. Saya mengutip deposit 20k bagi setiap rumah. Saya telah memiliki 20 juta dalam akaun saya. Pemaju tiada masalah untuk membayar denda 250k. Denda mestilah setimpal dengan nilai harta itu dan betapa seriusnya kesalahan itu. Bagaimana pula dengan kelewatan dalam projek-projek? Apakah denda yang dikenakan kepada pemaju dan apakah pampasan yang diberikan kepada pembeli?

2.    Tiada takrif yang jelas perkataan ‘terbengkalai’ (abandonment) dalam akta. Tanpa takrif seperti itu, ia akan menjadi kes menteri menggunakan kuasa budi bicara untuk mengisytiharkan keadaan terbengkalai yang menyebabkannya diragui. Menggunakan kuasa budi bicara juga boleh dipengaruhi dengan teruk oleh keinginan menteri untuk mencapai KPI kementeriannya. Pepatah lama ada mengatakan bahawa “goes power corrupts, absolute power corrupts absolutely”.

3.    Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 tidak dapat menyelesaikan banyak masalah jika bukan masalah yang meningkat terutamanya projek terbengkalai. Malah, pasukan petugas khas tidak berkesan dalam memulihkan projek terbengkalai dan ia masih terus menghantui industri perumahan.

4.    Saya ingin tahu berapa banyak projek terbengkalai GLC? Mengapa KPKT tidak mengambil tindakan untuk menghalang GLC daripada menyebabkan projek terbengkalai? Seperti mana-mana agensi yang lain di Malaysia, masalah di sini adalah penguatkuasaan. Undang-undang yang baik tidak berguna tanpa penguatkuasaan yang berkesan. Dalam bajet 2012, kerajaan memperuntukkan RM163 juta untuk memulihkan projek terbengkalai. Pemaju melarikan diri dengan wang pembeli dan kini kerajaan menggunakan wang pembayar cukai untuk memulihkan projek terbengkalai. Merompak golongan miskin untuk membantu golongan kaya! Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal dalam tugas kehakiman untuk melindungi pembeli terutama sekali pembeli miskin.

5.    BTS 10:90 adalah cara untuk berjaya. Saya meminta kementerian untuk mencadangkan satu road map yang disediakan bersama-sama dengan rang undang-undang ini supaya perubahan kepada BTS 10:90 siap sepenuhnya menjelang 2015. BTS akan melindungi pembeli dari risiko perniagaan pemaju dan pembiaya mereka. Ini sepatutnya telah dilakukan sejak dari dahulu lagi seperti Thailand, New Zealand dan United Kingdom.

6.    Pengenaan 3% deposit yang dikembalikan. Adakah pengenaan deposit baru 3% yang boleh dikembalikan (refundable) dapat membendung masalah terbengkalai?  Huru-hara dan masalah yang ditimbulkan oleh projek-projek yang terbengkalai dan jumlah dana yang menjadikannya tidak aktif (dan dalam banyak kes, dihapuskira (written off)) adalah jauh lebih dahsyat dan teruk daripada jumlah dana yang diperuntukan (held) dalam deposit keselamatan yang boleh dikembalikan. Bolehkah projek terbengkalai dielakkan dengan deposit 3%? Ia hanya bertindak sebagai bukti komitmen, keseriusan, kedudukan kewangan dan jaring keselamatan. Penguatkuasaan perlu diperketatkan tanpa mengira jumlah deposit keselamatan yang dituntut. Deposit 3% mewakili hanya satu faktor kecil dalam keseluruhan persamaan risiko. Saya minta 3% adalah yang minimum dan risiko dianggap tinggi, deposit mesti dinaikkan kepada 5%.

7.    Seksyen 8A: Penamatan perjanjian jual beli seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. “6 bulan selepas pelaksanaan perjanjian jual beli’. Daripada ‘6 bulan selepas pelaksanaan’, lebih baik, sekurang-kurangnya, dibaca sebagai ‘pada apa-apa tempoh berterusan enam (6) bulan semasa kewujudan subsistence perjanjian jual beli. Terdapat pelbagai situasi, di mana pemaju menyambung semula kerja dan kemudian berhenti untuk tempoh masa tertentu dan kemudian mulakan sekali lagi untuk mengecewakan pembeli.

8.    Takrifan semula (re-definition) ‘pemaju perumahan’. Pindaan untuk memasukkan liquidator dan liquidator sementara adalah dialu-alukan. Tetapi ada liquidator yang ingkar dengan membantah undang-undang perumahan walaupun mereka dianggap sebagai urusan pemaju sebenarnya (de’facto).

Ketika ini liquidator yang ingkar menolak untuk mengiktiraf undang-undang perumahan dan menjalankan proses penyingkiran (liquidation) pemaju perumahan dengan cara yang bertentangan dengan prinsip undang-undang perumahan. Dalam hal ini, pindaan itu adalah penting. Walau bagaimanapun, Menteri telah mengabaikan untuk memasukkan ‘Penerima dan Pengurus’ yang dilantik oleh Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa dan oleh kontrak (di bawah debentur) yang menjalankan projek berturut-turut dan sepatutnya melaksanakan atau menjalankan tanggungjawab kontrak pemaju perumahan tersebut seperti yang ditetapkan oleh undang-undang yang dilemahkan dari segi kewangan. Terdapat satu projek terbengkalai oleh Kabra Development Sdn. Bhd. di mana liquidator meminta bayaran tambahan sebanyak 2% daripada harga jualan dan ganti rugi lain. Ini tidak adil kepada pembeli.

9.    Pemaju yang tidak berlesen. Dilaporkan bahawa terdapat 195 projek perumahan yang tidak berlesen atau ‘haram’. Menteri mesti menjelaskan kepada Dewan yang mulia ini tentang apa yang telah berlaku yang membolehkan aktiviti ‘haram’ seperti itu berleluasa. Adakah pesalah-pesalah ini akan didakwa dan pengarah mereka dibawa ke mahkamah untuk menghadapi undang-undang dan hukuman? Jika ya, sila beritahu kepada Dewan yang mulia ini semua pihak yang terlibat termasuk nama-nama pemaju, nama projek, nama-nama arkitek, jurutera dan peguam yang bersubahat dengan mereka. Kenal pasti Bank-bank atau Institusi Kewangan dan Institusi Pembangunan Kewangan yang terlibat sama ada menghubungkan atau menamatkan kemudahan pinjaman Pembiayaan. Apakah tindakan Menteri Kewangan tentang hal ini dan mengapa Bank Negara Malaysia tidak sedar projek-projek haram secara terang-terangan seperti itu telah mengabaikan undang-undang perbankan? Bagaimana bank boleh membiayai projek-projek haram tanpa penukaran tanah, lay-out dan kelulusan pelan bangunan, lesen pemaju, pengiklanan dan permit jualan, perjanjian jual beli tidak seragam (non-standard) dan sebagainya. Rakyat menderita ketika penguatkuasaan kurang dan longgar.

10.  Kepentingan pembeli rumah kedai di tanah komersial harus dipertimbangkan juga sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa pilihan apabila projek yang diceburi mereka terbengkalai. Seorang pakar runding pemulihan telah menafsirkan bahawa terdapat berbilion ringgit yang terkunci sebagai aset mati hasil dari tanah komersial yang terbengkalai walaupun tiada statistik berkenaan bilangan projek. Perkembangan terkini terhadap rang undang-undang pembinaan perumahan tidak menyentuh kepada keadaan buruk pembeli tanah komersial yang telah terbengkalai. Manakala kerajaan telah menyatakan bahawa pemaju-pemaju ini tidak akan didenda kerana mengabaikan projek-projek tanah komersial. Apakah recourse untuk pembeli yang menjadi mangsa dalam hal ini?

11.  Kesimpulan. Tiada undang-undang yang mampu untuk menghapuskan atau menyelesaikan masalah melainkan ia dikuatkuasakan dengan tegas. Seperti kata pepatah, THE LAW IS ONLY GOOD AS IT’S ENFORCEMENT’.

Advertisements

Ucapan Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos

January 6, 2012

Terima kasih Tuan Yang Di-Pertua yang saya hormati.

Perkhidmatan Pos telah ditubuhkan kira-kira 175 tahun yang lalu dan ia telah dipupuk dan disokong oleh wang pembayar cukai. Ia adalah bertujuan untuk berkhidmat kepada semua terutamanya penduduk luar bandar dan pedalaman. Pos Malaysia ketika ini ia telah diswastakan dan disenaraikan di Bursa Malaysia. Setelah diswastakan dan disenaraikan, tujuan utama POS Malaysia adalah membuat keuntungan kepada pemegang saham dan tidak lagi memberi perkhidmatan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman. Bayaran pos telah dinaikkan seperti perkhidmatan penting yang lain, contohnya air, eletrik dan pengangkutan awam yang telah diswastakan dengan tujuan membuat keuntungan. Bayaran dan caj untuk semua perkhidmatan ini telah dinaikkan dengan mengabaikan penduduk miskin dan luar bandar. Apabila Pos Malaysia memilik kekayaan dengan hartanah utama, ia telah diswastakan kepada DRB-HICOM jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Rakyat Malaysia yang telah membiayai perkembangan POS Malaysia tidak mendapat apa-apa. Tetapi apabila nilai hartanah meningkat, ia dimiliki oleh DRB-HICOM dan pemegang saham utama adalah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah Melayu yang bertuah. Beliau juga telah membeli Pelabuhan Tanjung Pelepas, Malakoff Corporation Bhd. yang merupakan IPP yang terbesar, pemegang saham terbesar dalam BERNAS, GAS Malaysia, Alam Flora, MMC Gamuda, dan KLMRT. Nampaknya kerajaan tiada Bumiputra yang lain, semuanya diberi kepada beliau. Di dalam dewan yang mulia ini juga terdapat ramai Bumiputra UMNO, mereka juga tidak mendapat apa-apa dan semuanya disapu bersih oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Dasar memperkasakan Bumiputra telah dirampas oleh segelintir Bumiputra. Kebiasaanya hanya beberapa individu terpilih yang mendapat semua. Saya hairan mengapa ramai ahli dewan yang mulia ini tidak mempertikaikan mengenai individu terpilih yang mendapat semua.

Penjualan terkini 32.21% kepentingan Khazanah Nasional Bhd. dalam Pos Malaysia kepada DRB-HICOM Bhd. dengan RM3.60 sesaham atau RM622.8 juta, nampaknya bank tanah (land bank) berharga pengendali pos negara telah dianggarkan rendah. Nilai sebenar POS Malaysia Bhd. adalah bank tanah (land bank) strategik yang dimiliki. Empat bidang besar tanah Pos Malaysia yang dimiliki secara terus mempunyai gabungan saiz 10.5 hektar dan nilai pasaran yang dianggarkan berjumlah RM218.5 juta, menurut kepada data AmResearch. Nilai berkenaan hanya didedahkan serta merta selepas Pos Malaysia Bhd dijual kepada DRB-HICOM dan tidak sebelum ia dijual. Jadi, Khazanah Nasional Berhad telah menjualkannya pada harga yang rendah. Nampaknya kerajaan mahu menaikkan nilainya kepada pemilik baru. Saya ingin bertanya kepada menteri apakah manfaat kepada rakyat dalam urusan ini? Mengapa hanya orang terpilih tertentu yang menerima manfaat? Sekian, terima kasih.

 

Ucapan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga 2011

January 6, 2012

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya berbahas di dalam rang undang-undang ini dan terlebih dahulu saya juga turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya menerima satu data daripada kementerian kebajikan bahawa dari tahun 2006 hingga 2011 kes-kes yang melibatkan keganasan rumah tangga ialah begini, 1,635 keluarga kaum Melayu, 705 kaum India, 487 kuam Cina, 79 kes Peribumi Sabah, 47 kes Peribumi Sarawak ,dua kes Peribumi Semenanjung dan 31 kes melibatkan kaum-kuam lain.

 

Memandangkan masalah ini ialah melibatkan semua kuam tanpa batasan, jadi saya mohon kepada kementerian bahawa adakah agensi-agensi kerajaan yang mengendalikan kes-kes ini lebih fasih dan faham isu-isu budaya, isu-isu masalah dalam kuam itu untuk mengendalikan keganasan rumah tangga dengan lebih mahir. Jadi saya memohon bahawa agensi-agensi menyediakan mereka kalau tidak menyediakan mereka, mereka boleh juga melibatkan NGO-NGO yang pakar dalam pengendalian kes-kes keganasan rumah tangga. Jadi saya mohon Yang Berhormat Menteri memberikan penjelasan bagaimanakah mereka melibatkan masyarakat NGO di dalam mengendalikan masalah ini.

 

Tuan Yang di-Pertua, keganasan rumah tangga kadang-kadang bukan fizikal. Ini lebih kepada emosional dan juga psiko logikal dan saya difahamkan bahawa pindaan rang undangundang ini telah merangkumi aspek ini. Saya mahu bertanya Yang Berhormat Menteri sama ada kita ada kepakaran dan juga kesediaan untuk mengesan dan merawat masalah-masalah psikologi dan emosional. Satu lagi perkara Yang Berhormat Menteri ialah mengenai kes-kes keganasan yang mana saya difahamkan bahawa lebih kurang 80% kes keganasan ditarik balik iaitu mangsa mula-mula membuat laporan polis dan kemudian 80% daripada kes ini ditarik balik. Nampaknya ini satu masalah sebab mengapa 80% yang ditarik balik. Mungkin ini atas pujukan suami atau orang yang melakukan keganasan itu. Mungkin ada pressure dari tempat lain.

 

Jadi adakah kementerian mengesan perkara ini dan bagaimanakah kes-kes yang di fail boleh dikesan dan menyelesaikan masalah ini. Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya juga membaca di dalam surat khabar bahawa di Pulau Pinang, ada seorang mangsa keganasan rumah tangga. Dia membuat 15 laporan polis dalam tempoh tujuh bulan tetapi pihak polis langsung tidak mengambil tindakan. Nampaknya ini satu perkara yang serius sebab sikap polis yang tidak mengambil keganasan rumah tangga itu serius. Saya meminta jabatan polis yang selalunya terlibat dalam kes-kes keganasan mengambil perkara ini dengan lebih serius.  Banyak kali mangsa memberitahu bahawa pihak polis juga memujuk mereka supaya tarik balik dan selesaikan perkara itu sendiri dan tidak perlu memfailkan kes. Itulah sikap polis yang saya nampak. Jadi saya berharap kementerian lebih serius dan juga jabatan polis pun lebih serius mengendalikan kes yang difailkan.  Dalam kes ini di mana 15 kali laporan polis dibuat dalam tempoh tujuh bulan tetapi polis tidak mengambil apa-apa tindakan. Lebih teruk lagi ialah setiap kali laporan polis dibuat, bekas suami yang mendera itu yang datang pula. Nampaknya  dia ada maklumat dari jabatan polis. Jadi perkara-perkara seharusnya tidak berlaku. Saya harap keganasan rumah tangga boleh dikendalikan dengan lebih profesional dan cekap.  Sekian, terima kasih.

 

 

 

Datuk Heng Seai Kie:

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah telah membangkitkan isu tentang mengapakah 80% kes yang dilaporkan itu ditarik balik dan meminta agar kementerian ini memberikan keterangan tentang  keadaan ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, antara sebab kes-kes ditarik balik adalah seperti berikut iaitu:

 

(i)    campur tangan keluarga;

(ii)   pujukan suami;

(iii) mangsa tidak mahu suaminya didakwa;

(iv) berbaik semula dengan suami setelah mendapat intervensi daripada agensi berkenaan termasuk JKM, dan

(v)   pemangsa merupakan breadwinner keluarga, dengan izin, dan ini akan menjejaskan aspek kewangan keluarga.

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan turut bertanya tentang adakah agensi yang mengendalikan kes-kes rumah tangga dicadangkan bekerjasama dengan semua NGO. Sebenarnya secara umum, kes-kes keganasan rumah tangga adalah dikendalikan oleh pihak polis dari segi perundangan manakala dari aspek perlindungan dan pencegahan, ia dikendalikan oleh kementerian melalui JKM. Sehubungan itu badan pendamai diwujudkan bagi membantu dalam proses ini. Ahli NGO yang mempunyai kepakaran dalam bidang kekeluargaan adalah salah seorang yang dipilih menjadi ahli dalam badan pendamai.

 

Yang Berhormat juga turut bertanya sama ada terdapat anggota jabatan atau agensi yang fasih ataupun faham budaya pelbagai kaum dalam kes-kes keganasan ini. Jika tiada, maka haruslah dilibatkan NGO. Untuk makluman Dewan  yang mulia ini, kementerian sedar akan anggota yang kendali kes keganasan perlulah peka dari segi bahasa dan budaya. Berhubung perkara ini, kementerian mempunyai kaunselor seramai 207 orang daripada pelbagai etnik terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kementerian juga melalui LPPKN telah melantik kaunselor-kaunselor berdaftar seramai 57 orang dari kalangan ahli masyarakat, guru dan pesara untuk membantu dalam khidmat kaunseling di 56 pusat keluarga LPPKN.

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Dayang Madinah binti Tun Abang Haji Openg telah membangkitkan isu iaitu tentang kursus pra perkahwinan bagi pasangan Islam yang berkahwin di luar negara. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada masa ini kursus ini tidak diwajibkan kepada pasangan Islam yang berkahwin di luar negara yang kembali semula ke Malaysia. Cadangan Yang Berhormat akan dipanjangkan kepada JAKIM untuk dikaji. Yang Berhormat Senator juga turut mencadangkan agar kita menggalakkan hari keluarga dan membangkitkan isu berkaitan iaitu sama ada kursus-kursus keibubapaan termasuk kepada orang muda harus diadakan.

 

Untuk makluman Yang Berhormat, berikutan dengan kempen kementerian, Utamakan Keluarga, Semakin Hari Semakin Sayang’ pada tahun 2002, kerajaan telah memberi pelepasan cukai sejak tahun 2003 kepada syarikat-syarikat yang kendalikan hari keluarga bagi pekerja mereka. Kini hari keluarga banyak dijalankan oleh agensiagensi kerajaan, swasta dan dalam komuniti. Kementerian melalui LPPKN juga telah pun menjalankan kursus keibubapaan bagi pasangan dwi kerja iaitu parenting at work sejak tahun 2006 bagi pekerja sektor awam dan pihak swasta. Sebanyak 437 program telah pun dijalankan sehingga November 2011 yang meliputi hampir 19,000  ibu dan bapa. Bagi golongan muda, topik keibubapaan telah dimasukkan dalam kurikulum, PLKN dan kokurikulum pembangunan keluarga untuk mahasiswa di universiti mulai tahun ini.

Ucapan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011

December 27, 2011

Terima kasih tuan yang dipertua.

 

Pada masa ini dan saya tahu bahawa ramai rakyat Malaysia yang waras juga tidak bersetuju dengan rang undang-undang ini. Rang Undang-undang Perhimpunan Aman sebenarnya lebih ketat daripada undang-undang ketika ini, yang bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri pada bulan September ketika menyampaikan ucapan transformasi Hari Malaysia. PM membantah bahawa rang undang-undang itu mengubah polis daripada menjadi pihak yang mengeluarkan permit untuk perhimpunan awan, kepada fasilitator hak-hak yang dijamin perlembagaan tetapi hakikatnya ia menyekat hak orang awam untuk berhimpun.

 

 

Rang Undang-undang yang tidak disenangi ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa mengambil kira kehendak rakyat dan perundingan awam yang mencukupi telah merampas hak perlembagaan rakyat untuk kebebasan berhimpun. Saya ingin memetik kata-kata daripada ketua pergerakan hak-hak sivil Amerika Syarikat iaitu Martin Luther King Jr. yang menyatakan bahawa: The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort and convenience, but where he stands at times of challenge and controversy.”

 

Oleh itu rakan-rakan saya di pihak yang lain, ingatlah dengan menyekat, mengawal dan menakutkan masyarakat tidak boleh bersaing dengan kuasa pasaran yang lain. Kita perlu satu bentuk penyampaian (expression). Untuk menjadikan Malaysia masyarakat berpendapatan tinggi, kita perlu menjadi masyarakat yang lebih berterus-terang (outspoken) dan terbuka. Dalam beberapa protes sebelum ini adakah terdapat kerosakan harta benda? Rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman, jadi mengapa kita memerlukan undang-undang seperti ini yang menanamkan rasa takut terhadap polis dan pihak berkuasa? Tolong tolak rang undang-undang ini.

 

Malah SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) telah menggesa kerajaan untuk menghentikan penggubalan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ini. SUHAKAM menegaskan bahawa pindaan beberapa peruntukan-peruntukan rang undang-undang ini hendaklah dibuat bagi memastikan hak rakyat untuk menyuarakan kehendak mereka melalui perhimpunan aman awam adalah dilindungi dan disampaikan dengan cara yang benar-benar mencerminkan intipati hak berkenaan.

 

Rang undang-undang baru Myanmar tidak membenarkan perhimpunan aman di empat kawasan sahaja iaitu bangunan kerajaan, sekolah, hospital dan kedutaan. Berbeza dengan rang undang-undang yang dicadangkan di negara kita yang tidak membenarkan protes berhampiran empangan, takungan air, kawasan tadahan air dan loji rawatan, stesen minyak, hospital, balai bomba, lapangan terbang, stesen keretapi, terminal pengangkutan awam, pelabuhan, terusan, dermaga, jeti, jambatan dan marina, tempat-tempat ibadat, tadika, sekolah dan akhir sekali di jalanan.

 

Rang undang-undang Perhimpunan Aman ini juga melarang seseorang di bawah umur 21 tahun untuk menganjurkan perhimpunan, dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menyertai perhimpunan.  Peruntukan ini kelihatan seperti satu cara untuk menghalang generasi muda daripada menyatakan pandangan mereka dan mengambil bahagian dalam hal ehwal awam. Ini adalah satu pencabulan hak asasi yang serius untuk kebebasan perhimpunan dan bersuara di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak.

 

Saya minta PM untuk menarik balik rang undang-undang ini kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat.

 

Ucapan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2010

December 2, 2011

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu yang telah disebut-sebutkan oleh kerajaan sejak RMK 8.

 

Saya minta kerajaan dapat mengkaji semula sasaran Negara sebanyak 2,000 megawatt pada tahun 2020 tersebut dan meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia memang serius dari pembangunan teknologi hijau, khususnya sasaran penjanaan tenaga solar pada tahun 2020. Kita perlu lebih agresif di dalam aspek ini, memandangkan Malaysia kini merupakan Negara pengeluar teknologi solar yang ketiga terbesar di dunia.

 

Adalah bijaksana Menteri menunjukkan loji-loji yang berpotensi (kilang kelapa sawit, loji Cogeneration industri, kilang padi, industri kayu, kilang gula, hidro kecil dan loji tenaga suria masa depan) yang dikenalpasti untuk dibangunkan di bawah pelbagai teknologi menggunakan skim Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baru. Pelan induk pembangunan grid dengan laluan grid ditunjukkan untuk menuai tenaga dari penjanaan yang disebarkan juga harus didedahkan bagi perundingan awam. Dengan maklumat di atas, masyarakat akan berasa digalakkan untuk menghargai apa yang mereka akan bayar dan sertai sepenuh hati dalam pengenalan tenaga boleh diperbaharui.

Akses grid tenaga harus dibuat bagi memudahkan untuk digunakan kepada sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui yang dikenalpasti dan terma syarat bekalan harus munasabah untuk industri proses. Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah memperkenalkan konsep “Kewajipan Boleh diperbaharui”, sangat berjaya di UK, di mana kewajipan dikenakan ke atas pemegang lesen pengedaran bagi sumber tertentu dan kadar kenaikan tahunan jualan tenaga elektrik mereka dari sumber-sumber yang boleh diperbaharui, atau membayar penalti, dalam hal ini pemegang lesen pengedaran akan dimotivasikan untuk meneruskan sebagai pembekal tenaga boleh diperbaharui dengan syarat-syarat bekalan yang harus dipatuhi.

Kecekapan operasi bagi pelbagai teknologi tenaga boleh diperbaharui harus menjadi subjek penting yang terkandung dalam Akta Tenaga Boleh Baru. Akta tersebut akan mendapat kesan yang mustahil dan oleh kerana itu penyertaan awam penting bagi merasai pemilikan dan kejayaannya. Mana-mana teknologi yang tidak menunjukkan persamaan grid dalam tempoh 7-10 tahun seharusnya tidak dibenarkan subsidi awam dan kerana itu peraturan seharusnya tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam operasi. Ini merujuk kepada objektif Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) untuk teknologi memulakan teknologi bagi tujuan kemahiran dan pembelajaran sehingga kos turun ke tahap yang munasabah. Jika perlu, dana khas boleh diperuntukkan oleh kerajaan untuk tujuan kemahiran dan pembelajaran.

Pembangunan grid tenaga untuk menuai tenaga boleh diperbaharui dengan cara penjanaan diedarkan di dalam negara disebabkan trend masa depan harus diambil sebagai langkah berasingan oleh kerajaan, bukan melalui skim subsidi Tarif Galakan (Feed-in-Tariff). Sebaliknya, ini boleh berakhir sebagai pembangunan grid tenaga tidak sistematik tanpa skim yang diselaraskan.

Satu lagi perkara yang saya ingin sebut juga ialah tentang SEDA (Sustainable Energy Development Authority), di mana satu peratus akan dikenakan ke atas semua bil-bil elektrik sebagai satu tarif untuk SEDA. Saya khuatir bahawa ini akan memberikan impak dan kesan daripada pengguna-pengguna elektrik yang akan membayar satu peratus ini? Apakah kebaikan yang kita boleh perolehi dan adakah ini munasabah untuk mengenakan kadar ini sedangkan gas subsidi diberikan kepada IPP yang dapat meraut atau meraih keuntungan yang besar? Mengapakah satu peratus tarif ini harus dikenakan kepada 44 peratus pengguna-pengguna elektrik? Tidakkah pihak Kerajaan Persekutuan menimbang, mendapat sumbangan daripada potonga subsidi kepada IPP. Saya rasa dengan gas subsidi ini mereka memang mampu untuk membayarnya.

 

Mengenai kemajuan mini hydro di Sarawak kenapa ia tidak dilaksanakan secara luas dalam SCORE di Sarawak? Sarawak ada kawasan lapang besar, matahari, sungai, hutan dan sebagainya. Tapi kerajaan membelanja lebih kurang 12 billion ringgit untuk membina empangan Bakun dan memindahkan orang yang bergantong kapada hutan kepada kawasan tidak berhutan.

 

Apakah takrifan tenaga nuklear? Adakah ia dianggap sebagai satu sumber tenaga boleh baru. On one side maju tenaga boleh baru dan on the other side kita juga maju tenaga nuclear. Boleh kah Negara kita menuju kea rah tenaga boleh baru saja.

Ucapan Rang Undang-undang Timbang Tara 2010

December 2, 2011

Tuan Yang Di-Pertua Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan ini yang saya hormati,

Izinkan saya untuk  membahas pindaan kepada Akta Timbang Tara iaitu Arbitration (Amendment Act 2010).

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Pindaan kepada kepada Seksyen 8 Akta utama amat membimbangkan saya kerana ianya dengan jelas menghadkan hak pihak –pihak yang terlibat dalam pertikaian, akses kepada keadilan di Mahkamah biasa.

Pindaan ini dinyatakan didalam RUU:

Takat campur tangan mahkamah

8. Tiada Mahkamah boleh campur tangan dalam pekara yang dikawal oleh Akta ini, kecuali jika diperuntukan sedemikian dalam Akta ini.

Akses kepada keadilan adalah satu hak yang dilindungi oleh Perlembagaan kita dan hak ini perlu di pelihara dan dihormati oleh Dewan yang mulia ini.

Maka saya mohon untuk betul-betul berfikir sebelum memperbetulkan atau membuat pindaan khususnya mengenai Seksyen 8 kerana ianya boleh menjurus kepada pelanggaran undang-undang Perlembagaan kita yang jelas melindungi hak akses kepada keadilan.

Saya menyatakan sedemikian kerana Mahkamah Tinggi kita perlu diberikan kuasa mutlak untuk menyemak keputusan-keputusan yang dibuat oleh seorang ‘Arbitrator’ terutamanya dimana terdapat elemen penipuan atau fraud dan kekhilafan undang-undang dan fakta yang ketara di sebelah pihak yang membuat keputusan dan elemen-elemen berat sebelah iaitu “biasness”.

Oleh yang demikian saya memohon menyemak semula rang undang-undang dengan teliti khususnya mengenai Seksyen 8 kerana dalam kes Lee Kwan Woh Mahkamah Persekutuan kita di Putrajaya (Mahkamah Rayuan yang tertinggi di Malaysia) telah memberikan satu intepretasi yang agak lebar tentang hak-hak fundamental didalam Bahagian 2 Perlembagaan kita yang cukup untuk merangkumi hak akses kepada keadilan.

Di sini Yang Di-Pertua, saya ingin mengambil peluang ini untuk mencadangkan satu undang-undang baru digubal oleh Parlimen kita iaitu ‘Arbitration Fairness Act’ bagi menbendung atau mengharamkan terma-terma ‘mandatory binding arbitration clauses’ dalam mana-mana kontrak atau perjanjian komersial di mana transaksi diantara pihak-pihak menjurus kepada ‘unequal bargaining power’, kontrak insuran, kontrak perumahan, kontrak konsumer, perjanjian franchise, hak-hak sivil atau perjanjian pekerjaan. Terma sebegini menegah mana-mana parti membawa tindakan untuk pampasan di Mahkamah dan secara kebiasaan ada juga terma yang memberi kuasa mutlak kepada satu parti untuk memilih ‘arbitrator’ yang disukai oleh mereka.

 

Saya menyeru pihak Jabatan Peguam Negara mengkaji undang-undang ini yang telah di perkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 2009 bagi mengkaji samada undang-undang sebegini sesuai untuk diperkenalkan di Malaysia.

 

 

Sekian Terima kasih

 

 

Ucapan Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan) 2010

December 2, 2011

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang untuk saya turut berbahas Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan) ini.

 

Bilangan pelaut Malaysia tidak meningkat dan tidak selari dengan perkembangan industi perkapalan ketika ini. Institusi latihan mendapat banyak permohonan yang lebih dari sebelumnya, tetapi terpaksa menghadkan peserta baru disebabkan kesukaran dalam mencari pelabuhan untuk latihan dan pekerjaan atas kapal.

 

Syarikat perkapalan yang memohon lesen perkapalan dalam negeri mendakwa mereka tidak dapat mencari pelaut Malaysia yang sesuai, sementara institusi-institusi latihan mengatakan lulusan mereka sedang menunggu tempat berlabuh (berth). Kita mempunyai pelaut yang terlatih dan berkelayakan tetapi syarikat perkapalan berpendapat lebih mudah melalui agen yang membekalkan keperluan yang lengkap, iaitu dari Filipina atau Indonesia daripada memilih pegawai atau kru Malaysia.

 

Saya cadangkan bahawa semua kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia mesti mempunyai insurans cover yang cukup jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kapal tenggelam, membuat pencemaran, atau melakukan perkara-perkara yang memberi kesan negatif terhadap perairan Malaysia.

 

Apakah langkah kementerian dalam memastikan bahawa ancaman radioaktif dan kebocoran loji nuklear Jepun ini tidak mengancam negara kita oleh kerana radioaktif – di seluruh dunia ini sedang mengambil langkah seperti di India baru-baru ini mengharamkan semua barang dari Jepun khususnya makanan melalui kapal tiga tahun dari masa kini.

Adakah pindaan dalam rang undang-undang ini melibatkan transhipment kapal-kapal? Amalan ketika ini kapal-kapal besar harus pergi ke pelabuhan-pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan kemudian kapal-kapal kecil akan mengagihkan barang-barang atau muatan dari pelabuhan utama ke pelabuhan-pelabuhan kecil. Soalan saya adakah kapal-kapal besar ini dibenarkan untuk terus pergi ke pelabuhan-pelabuhan kecil?

 

Apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan bahawa industri insurans juga mendapat peluang perniagaan daripada kapal-kapal antabangsa yang berlabuh di Malaysia?

 

Adakah insurans yang diambil di negara kita ini juga terpakai ataupun boleh dibuat sekiranya kapal-kapal yang didaftarkan di negara kita ini ditinggalkan di luar negara supaya memastikan pelaut-pelaut yang berkhidmat dengan kapal ini juga mendapat pembelaan dan dibawa pulang di bawah perlindungan insurans yang dimaksudkan oleh akta ini.

 

Pada masa ini, terdapat kebimbangan yang besar terhadap pengurusan keselamatan selat-selat di Malaysia. Kebimbangan ini muncul akibat peningkatan kejadian lanun dan rompakan bersenjata di perairan negara ini. Selain itu, perairan Malaysia juga terkenal dengan aktiviti-aktiviti haram seperti perdagagan orang, penyeludupan barang-barang terlarang seperti dadah dan senjata api, pembalakan haram, nelayan haram, dan sebagainya. Oleh itu, tindakan menyeluruh perlu diambil bagi menangani masalah-masalah tersebut.

 

Saya juga ingin menyentuh mengenai perkhidmatan feri penumpang yang beroperasi di Sabah dan Sarawak. Pengangkutan air adalah pengangkutan yang utama di di dua negeri berkenaan. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini adalah adakah perkhidmatan feri di Sabah dan Sarawak mendapat perlindungan insurans, terutama dari segi keselamatan penumpang?