Dewan Negara Sesi Julai 2012: Ucapan Penangguhan Mengenai Kolej Matrikulasi

DEWAN NEGARA SESI JULAI 2012

 

Ucapan Penangguhan Mengenai Kolej Matrikulasi – 10 Julai 2012

 

Dr. S. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana beri peluang untuk memberikan ucapan penangguhan.  Saya minta penjelasan daripada Menteri Pendidikan mengenai kolej matrikulasi yang terdapat di Malaysia dan di manakah lokasi kolej-kolej ini? Apakah kapasiti pelajar-pelajar untuk setiap kolej? Sejak penubuhan kolej matrikulasi pada tahun 2002 hingga tahun 2012, berapakah jumlah pelajar yang mengikuti program pra universiti dan menyambung program ke universiti.

Apakah pecahan pelajar-pelajar kolej matrikulasi dari tahun 2002 hingga 2012 mengikut kaum? Apakah kursus atau program yang ditawarkan di kolej matrikulasi dan nyatakan pecahan khusus mengikut kaum untuk tahun 2002 hingga 2012?  Pada bulan Februari 2012 Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pengambilan pelajar India ke kolej matrikulasi akan ditambah sebanyak 1,000 tempat daripada 500 sebelum ini dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,500 tempat. Berapakah jumlah permohonan yang diterima untuk pengambilan sesi 2012, 2013 mengikut kaum dan berapa ramai daripada permohonan ini telah mendaftar pada pengambilan 2012/2013?

Saya juga ingin tahu pecahan pelajar yang ditolak permohonannya mengikut kaum dan berapa ramai yang telah membuat rayuan? Daripada rayuan dibuat itu berapa ramai yang diterima. Apakah pecahan kaum bagi setiap program matrikulasi untuk pengambilan sesi 2012/2013? Saya juga mohon kerajaan menambah kuota pengambilan pelajar bukan Melayu untuk mengikuti program matrikulasi supaya dapat menaikkan taraf pendidikan negara yang mempunyai berbilang kaum.  STPM adalah hanya satu peperiksaan awam yang hanya mengambil markah terakhir. Akan tetapi kursus matrikulasi mempunyai tugasan, ujian, kuiz dan peperiksaan akhir yang akan dicampurkan bersama sebagai markah akhir.

Kita tidak boleh membandingkan STPM dan matrikulasi kerana kedua-duanya tidak sama taraf. Ia seperti epal dan oren. Akan tetapi bagi unit pemilihan universiti-universiti tempatan A daripada matrikulasi adalah sama dengan A daripada peperiksaan STPM. Jadi pelajar yang dapat 4A dalam matrikulasi adalah sama seperti 4A daripada peperiksaan STPM. Dalam hal ini jelas bahawa pelajar matrikulasi mempunyai kelebihan yang besar dan pengolahan yang lebih berbanding dengan pelajar STPM. Saya juga mohon Menteri menjelaskan mengapa kerajaan menganggap tahap STPM sama dengan matrikulasi? Pada pandangan saya tahap STPM lebih susah berbanding matrikulasi dan minta kerajaan beri lebih keistimewaan kepada STPM.

 

Untuk meningkatkan taraf pendidikan negara adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menyamaratakan STPM dan matrikulasi? Saya harap ini bukan untuk menurunkan taraf STPM sebaliknya kita menaikkan taraf STPM. Terima kasih.

 

 

Timbalan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri.

 

Timbalan Menteri Pelajaran I [Datuk Dr. Wee Ka Siong]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Terlebih dahulu Kementerian Pelajaran Malaysia mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan yang membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan kolej matrikulasi dan juga lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya akan memberi ulasan mengenai perkara yang dibangkitkan dengan sebaik mungkin. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah diwujudkan sejak November 1998. Tujuan asalnya adalah untuk meningkatkan penyertaan pelajar bumiputera dalam bidang sains dan teknologi di IPTA.

Namun semenjak tahun 2003, program ini bukan sahaja eksklusif untuk pelajar bumiputera kerana kuota 10% telah pun diperuntukkan untuk pelajar bukan bumiputera. Sejak penubuhannya hingga tahun 2012 bilangan kolej matrikulasi kerajaan telah meningkat kepada 13 buah iaitu setiap satu di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Selangor. Manakala dua buah di Johor, Kedah dan Pahang. Perlu dijelaskan bahawa kapasiti pelajar yang mampu ditampung oleh setiap kolej matrikulasi  adalah berbeza-beza iaitu antara 400 hingga 2,700 orang. Untuk itu jumlah keseluruhannya yang mampu ditampung oleh 13 kolej matrikulasi tersebut pada masa ini adalah seramai 26,700.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan dua jurusan iaitu jurusan sains dan jurusan perakaunan. Sejak tahun 1999 hingga 2011 seramai 220,392 orang pelajar telah mengikuti pengajian ini dan mulai sesi 2003 dan 2004, 10% daripada pelajar yang berdaftar adalah terdiri daripada pelajar bukan bumiputera. Daripada jumlah tersebut 97% pelajar telah berjaya melepasi syarat kelayakan minimum untuk dipertimbangkan tempat di IPTA.

Pada 27 Februari 2012 Yang Amat Berhormat Perdana  Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan 1,000 tempat kepada pelajar kaum India yang menjadikan jumlah keseluruhan tempat sebanyak 1,500. Seramai 4,512 orang pelajar kaum India telah memohon dan daripada jumlah tersebut seramai 1,539 iaitu 34.11% berjaya ditawarkan ke program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi sesi 2012 dan 2013. Satu ribu orang pelajar kaum India telah ditawarkan kepada ambilan pertama yang telah berdaftar pada 28 Mei 2012. Manakala 539 orang lagi akan ditawarkan pada ambilan kedua dan mendaftar pada 13 Jun 2012.

Namun begitu jumlah pelajar kaum India yang berdaftar di 13 buah kolej di seluruh Malaysia pada ambilan pertama iaitu 28 Mei 2012 dan ambilan kedua 13 Jun 2012 hanyalah seramai 943 orang iaitu 61.27%. Rayuan kemasukan telah dibuka pada 25 April hingga 13 Mei 2012. Seramai 34,456 permohonan rayuan telah diterima dan 72.35% iaitu bersamaan 24,929 orang daripada rayuan, daripada pelajar bumiputera dan 27.65% iaitu bersamaan 9,527 orang pelajar bukan bumiputera.

Pada 2 Julai 2012 Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah mengumumkan tawaran khas kepada seramai 557 orang pelajar secara  one-off bagi mengisi kekosongan tempat pelajar kaum India. Proses pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut telah pun dilaksanakan. Surat tawaran akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 11 Julai dan akan mendaftar pada 18 Julai di 13 buah kolej matrikulasi seluruh Malaysia. Dengan langkah-langkah yang dilakukan ini, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap peluang pendidikan untuk semua kaum di negara ini, dan ini juga membuktikan janji ditepati oleh kerajaan yang memerintah sekarang.

Berhubung dengan pengajian di Tingkatan 6, untuk makluman Ahli Yang Berhormat pengajian Tingkatan 6 peperiksaan STPM dan matrikulasi adalah setaraf. Pengajian Tingkatan 6 ialah pendidikan pra universiti yang mempunyai dua fungsi utama. Pertama, pengajian Tingkatan 6 iaitu STPM merupakan tiket untuk masuk ke IPTA dan menyediakan pelajar untuk mengikuti pelbagai kursus. Kedua, sijil STPM juga diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke universiti luar negara. Justeru mereka yang tidak dapat masuk ke IPTA atau memilih untuk tidak masuk ke IPTA masih berpeluang memohon masuk ke universiti-universiti luar sama ada universiti berkembar dalam negara ataupun di luar negara.

Dalam konteks ini, peperiksaan STPM menawarkan pelbagai mata pelajaran seperti mana mata pelajaran bahasa, Sejarah, Geografi, Komputer, Perakaunan, Matematik, mata pelajaran Sains dan pelbagai mata pelajaran lain. Selain daripada itu, peperiksaan STPM ditawarkan bukan sahaja kepada calon sekolah malahan kepada calon-calon persendirian individu kerana dalam pendemokrasian pendidikan, kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi tidak seharusnya berasaskan kepada satu peperiksaan sahaja. Ini biasa digunakan oleh kebanyakan negara.

Pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi mestilah juga menimbangkan calon-calon yang tidak berpeluang masuk ke sekolah bagi mengikuti pendidikan pra universiti.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, sukatan pelajaran STPM dan matrikulasi adalah sama kecuali dari segi cara dan tempoh belajar dan pelaporan keputusan peperiksaannya. Walau bagaimanapun, Kementerian Pelajaran melalui Majlis Peperiksaan (MPM) telah mengambil tindakan dengan merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu secara terminal kepada sistem pentaksiran baharu dengan konsep modular.

 

Usaha ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam bidang

pendidikan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti lepasan sistem pendidikan negara kita. Oleh yang demikian, sistem pentaksiran baharu STPM telah dilaksanakan mulai sesi pengambilan pelajar Tingkatan 6 bawah pada bulan Mei 2012. Maka dengan itu, apa juga kekhuatiran perkara yang telah dibangkitkan telah diambil kira dalam sistem yang baru ini.

 

 

 

Kementerian Pelajaran akan mengkaji dan menyediakan mekanisme dalam usaha melaksanakan transformasi sistem pendidikan Tingkatan 6 dengan memperlihatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM mengikuti pengajian berdasarkan jadual waktu persekolahan yang bukan konvensional seperti yang sedang dilalui pada masa ini. Perubahan besar yang bakal dilakukan oleh kerajaan ialah dengan memisahkan pelajar Tingkatan 6 daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

 

Selain dibesarkan daripada sekolah menengah sedia  ada, pelajar Tingkatan 6 juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza. KPM juga bersedia untuk mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran pendidikan Tingkatan 6 dipendekkan enam bulan lebih awal seperti mana yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi. Penjenamaan semula sistem pendidikan Tingkatan 6 dibuat dengan matlamat untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tersebut sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan di pusat asasi sains.

 

Keperluan mengubah sistem pendidikan itu juga jelas penting untuk menggubah persepsi sebilangan besar masyarakat bahawa pendidikan di peringkat matrikulasi jauh lebih baik berbanding dengan Tingkatan 6. Persepsi berkenaan harus dikikis memandangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing melanjutkan pelajaran ke universiti adalah sama. Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan Ahli Yang Berhormat berpuas hati dengan penjelasan yang cukup terperinci berkaitan dengan isu yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator. Sekian, terima kasih.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: