Dewan Negara Sesi Julai 2012: Ucapan Penangguhan Mengenai Dasar Ladang Kelapa Sawit Untuk Menyokong Penternakan

DEWAN NEGARA SESI JULAI 2012

 

Ucapan Penangguhan Mengenai Dasar Ladang Kelapa Sawit Untuk Menyokong Penternakan – 10 Julai 2012

 

 

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana beri peluang kepada saya untuk memberi ucapan penangguhan.

 

Tuan Yang di-Pertua:  Yang Berhormat, sekejap ya? Kerana nama-nama yang telah dihantar kepada saya untuk membahaskan usul-usul dari segi perbelanjaan tadi, boleh berucap esok dan semua – kalau ada antara lain yang masih hendak bercakap esok, sila kemukakan nama sekarang ini.  Kalau esok saya tidak terima lagi dah, hanya akan menyudahkan semua ada lebih kurang sepuluh orang lagi hendak berucap, maka kita hendak sambung esok kepada mereka yang masih belum berucap dari segi perbekalan. Sekian terima kasih. Silakan Yang Berhormat.

 

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana beri peluang kepada saya untuk memberi ucapan penangguhan mengenai dasar berkaitan ladang kelapa sawit untuk menyokong aktiviti penternakan. Kawasan-kawasan tanah luas yang digunakan bagi penanaman kelapa sawit menghalang pengeluaran makanan oleh petani tempatan untuk mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan. Kerajaan berpuas hati memandangkan ladang-ladang kelapa sawit ini menghasilkan pendapatan yang tinggi, disebabkan itu kawalan dan jaminan makanan telah jadi kurang penting.

 

Amalan ini tidak mampan dalam jangka masa panjang, perlu ada keseimbangan antara tanaman komersial dan makanan sara diri, pengurusan estet seperti Sime Darby, KL Kepong dan Achi Jaya tidak menggalakkan aktiviti penternakan haiwan oleh pekerja. Ini mengehadkan pengeluaran susu tempatan dan tenusu yang lain, memandangkan ladang-ladang kelapa sawit menguasai tanah yang luas, ia mesti digunakan untuk lebih daripada  satu tujuan yang akan melengkapi tanaman kelapa sawit.

 

Saya menyeru kementerian untuk menggalakkan ladang-ladang kelapa sawit untuk membenarkan penternakan lembu di ladang-ladang dan  kawasan pertanian. Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan dan menyokong ladang-ladang kelapa sawit untuk membenarkan dan menggalakkan aktiviti ternakan dan tanaman sayur-sayuran. Saya mendapati hanya FELDA membenarkan ternakan lembu, tetapi ladang-ladang besar termasuk GLC, tidak menggalakkan ternakan lembu dan pengeluaran pertanian dalam estet.  Ladang-ladang besar memiliki tanggung jawab sosial korporat kepada pekerja-pekerja dan masyarakat tempatan untuk mengaut lebih keuntungan, mereka mengimport pekerja asing dan menggantikan pekerja tempatan.   Jika pekerja tempatan dibenarkan untuk menjalankan  aktiviti penternakan dan pertanian sebagai pendapatan tambahan disebabkan upah yang rendah, maka lebih ramai orang tempatan akan bekerja di ladang-ladang. Bandar Kecil Chaah, Johor dikelilingi oleh ladang-ladang Achi Jaya.

Petani tidak mempunyai tempat untuk pertanian dan memelihara haiwan-haiwan ternakan untuk perladangan tenusu. Kerajaan perlu memantau situasi ini dan melihat ladang-ladang kelapa sawit tersebut tidak membenarkan pekerja menternak  haiwan. Malaysia telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport tenusu dan daging import. Perbelanjaan mata wang asing ini boleh disimpan dengan menggalakkanpengeluaran tempatan. Bolehkah kementerian memaklumkan perbelanjaan setiap tahun untuk mengimport susu, produk tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran. Berapakah jumlah produk-produk ini dikeluarkan dalam negara?

 

Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan pengeluaran produk tempatan? Bolehkah Menteri memberikan data berkenaan pengimportan makanan terkini dan lima tahun yang lalu? Adakah kerajaan telah menambah baik teknologi untuk menjadi lebih efisien dan meningkatkan kualiti produk-produk ini di peringkat daerah, veterinar tempatan dan jabatan Pertanian perlu menggalakkan lebih banyak pengeluaran makanan. Veterinar dan jabatan pertanian mesti menjadi pengantara rundingan antara pekerja dan pengurusan estet supaya mereka boleh menggunakan tanah yang sama untuk lebih daripada satu tujuan.  Multinasional Corporation boleh bermula dalam skala besar pertanian buah-buahan tetapi petani tempatan tidak mendapat sokongan kerajaan, boleh Menteri jelaskan? Terima kasih.

 

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat menjawab.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani II [Datuk Chua Tee Yong]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada ucapan penangguhan daripada Yang Berhormat Senator.

 

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani sentiasa menggalakkan penglibatan ladang-ladang kelapa sawit dalam aktiviti penternakan lembu secara integrasi, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perusahaan Perladangan Komoditi telah mengadakan kerjasama melalui perbincangan mengenai perkara ini dan pada dasarnya bersetuju untuk menyediakan satu garis panduan yang seragam dan bersepadu bagi melaksanakan aktiviti ini. Bagi menyahut hasrat kerajaan untuk menggalakkan pelaksanaan aktiviti ini, MoA iaitu Kementerian Pertanian melalui Entry Point Project (EPP5) penternakan lembu secara integrasi di bawah NKEA pertanian telah melibatkan sebanyak 25 buah ladang kelapa sawit di seluruh Malaysia untuk menjalankan penternakan lembu secara integrasi. Keseluruhan projek ini melibatkan keluasan ladang seluas 543 ribu hektar dan sebanyak 5,355 ekor lembu.

 

Kerajaan menyasarkan sebanyak 300 ribu ekor lembu  boleh diternak menjelang tahun 2020 yang meliputi lembu daging dan lembu baka. Dalam hal ini juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pemilik-pemilik ladang menternak lembu atau kambing di ladang sawit kepunyaan mereka disebabkan tanah ladang sawit tersebut adalah hak milik persendirian.  Walau bagaimanapun, NPIC melalui Agensi Ladang Minyak Sawit Malaysia telah menggalakkan pemilik-pemilik ladang untuk melaksanakan aktiviti peneternakan dan turut mengesyorkan kaedah menternak lembu serta kambing yang berdaya maju dari segi teknikal dan ekonomi iaitu melalui sistem ragutan bergilir.

 

Saya juga tertarik dengan ucapan penangguhan Yang Berhormat Senator yang mengatakan di kawasan bandar kecil Chaah, Johor, petani tidak mempunyai tempat untuk pertanian dan memelihara haiwan ternakan. Sebenarnya saya telah mendapat surat daripada Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, daripada pengurusnya yang mengatakan bahawa terutamanya di kawasan Ladang Sungai Gechang adalah salah bahawa terdapat tuduhan di mana pihak ladang tidak membenarkan untuk memelihara ternakan lembu kerana ia adalah tidak berasas sama sekali.

 

Mereka telah memberi keputusan kepada pekerja-pekerja supaya terlibat dalam kegiatan ternakan dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.  Oleh itu saya harap Yang Berhormat kalau mempunyai  masa, boleh berjumpa dengan pengurus untuk mendapatkan maklumat yang selanjutnya.

 

Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan statistik kementerian bagi tahun 2007 hingga 2011, jumlah import susu dan produk tenusu ke Malaysia adalah seperti berikut:

 

Produk-produk yang diimport adalah termasuk penghasilan tenusu, krim, tepung, dan isian lemak manis.

 

Pengeluaran susu tempatan selama tempoh tersebut pula adalah seperti berikut:

 

 

 

Tahap sara diri bagi komoditi susu pada tahun 2011 adalah pada 5% dengan kadar pertumbuhan diunjurkan sebanyak 5.8%. Bagi meningkatkan peningkatan susu tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan program cluster tenusu di bawah NKEA di bawah National Key Economic Area, dengan izin, pertanian di mana entry point project 13 di mana penternak-penternak diberi bantuan baka lembu tenusu dan peralatan berkaitan.

 

Sebenarnya dari segi jumlah keseluruhan nilai import bahan makanan negara pada tahun 2011, ia adalah berjumlah RM34.5 bilion tetapi eksportnya pula adalah RM20 bilion. Pada tahun 2007, nilai import adalah sebanyak RM26 bilion tetapi dari segi eksport adalah sebanyak RM15.7 bilion. Maka dari segi imbangan dagangan di antara 2011 dan 2007 adalah sebanyak satu adalah RM13 bilion dan satu lagi kalau tidak salah adalah sebanyak RM10 bilion.

 

Daripada nilai import tahun 2011, sebanyak 18.7% adalah merupakan jumlah nilai import untuk susu dan hasil susu, sayur-sayuran serta buah-buahan. Import buah-buahan telah meningkat daripada RM800 juta pada tahun 2007 kepada RM1.6 bilion pada tahun 2011 kerana jenis-jenis buah-buahan yang diimport adalah buah-buahan yang tidak economic atau tidak sesuai untuk dihasilkan dalam negara kita seperti epal, oren, limau mandarin, pear, anggur dan kurma.

 

Sementara itu, peningkatan nilai import sayuran adalah daripada RM1.9 bilion pada tahun 2007 kepada RM7.1 bilion pada tahun 2011. Namun demikian, di sebalik kenaikan import bahan makanan tersebut, pengeluaran komoditi makanan utama masih mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan iaitu pada kadar 5.5% setahun bagi tempoh 2007 hingga 2011 walaupun berhadapan dengan berbagai krisis di peringkat global termasuk krisis minyak dan kewangan yang telah meningkatkan kos pengeluaran makanan.

 

Pengeluaran susu telah menunjukkan pertumbuhan yang baik pada kadar 9.3% sepanjang lima tahun tersebut iaitu daripada 51 juta liter kepada 88 juta liter.  Pada masa itu, pengeluaran sayur-sayuran juga mencatatkan peningkatan pada kadar 7.1% dan juga buah-buahan meningkat daripada 1.4 juta tan metrik kepada 1.7 juta tan metrik. Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha bagi menambah baik penggunaan teknologi dalam penghasilan produk-produk pertanian termasuklah produk tenusu.

 

 

Pelbagai strategi dan langkah telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara dan juga meningkatkan pengeluaran makanan negara. Ini termasuk pelaksanaan projek berimpak besar seperti Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zone Industrial Agriculture (ZIA), Ladang Kontrak dan Pembangunan Usahawan Asas Tani serta Entry Point Project di bawah NKEA pertanian.

 

Selain daripada itu, tanah pertanian akan digunakan secara optimum di mana kawasan

tanaman semula kelapa sawit akan dibangunkan dengan tanaman selingan singkat masa seperti pisang, nanas, tembikai serta menjalankan produk integrasi ternakan di kawasan perladangan industri. Penyelidikan dan pembangunan pula ditumpukan kepada R&D bagi peningkatan hasil secara mampan. Antara bidang tumpuan R&D adalah pembangunan variety dan baka, pengeluaran benih, pengeluaran makanan ternakan dan agriculture serta bioteknologi.

 

Kementerian juga akan terus membangunkan sistem rantaian bekalan makanan yang lebih terangkum dan kukuh dengan penglibatan kerajaan, pihak swasta serta petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dengan permintaan pemasaran, meningkatkan aktiviti nilai tambah serta mengurangkan risiko perniagaan. Selain usaha daripada pihak kerajaan, inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara memerlukan penglibatan aktif pihak swasta.

 

Bagi menggalakkan pihak swasta untuk terus melabur dalam pengeluaran makanan, insentif fizikal termasuk pelaburan semula dan baru dicadangkan diperluaskan meliputi semua aktiviti pengeluaran dan pemprosesan. Pinjaman mudah yang mencukupi akan disediakan melalui Agro Bank dan TEKUN dan akses kepada pembiayaannya akan diperbaiki. Sekian terima kasih.

 

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, usul penangguhan sebagaimana yang dikemukakan oleh Yang Berhormat tadi hendaklah disetujukan.

 

[Usul dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan]

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: