Ucapan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga 2011

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya berbahas di dalam rang undang-undang ini dan terlebih dahulu saya juga turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya menerima satu data daripada kementerian kebajikan bahawa dari tahun 2006 hingga 2011 kes-kes yang melibatkan keganasan rumah tangga ialah begini, 1,635 keluarga kaum Melayu, 705 kaum India, 487 kuam Cina, 79 kes Peribumi Sabah, 47 kes Peribumi Sarawak ,dua kes Peribumi Semenanjung dan 31 kes melibatkan kaum-kuam lain.

 

Memandangkan masalah ini ialah melibatkan semua kuam tanpa batasan, jadi saya mohon kepada kementerian bahawa adakah agensi-agensi kerajaan yang mengendalikan kes-kes ini lebih fasih dan faham isu-isu budaya, isu-isu masalah dalam kuam itu untuk mengendalikan keganasan rumah tangga dengan lebih mahir. Jadi saya memohon bahawa agensi-agensi menyediakan mereka kalau tidak menyediakan mereka, mereka boleh juga melibatkan NGO-NGO yang pakar dalam pengendalian kes-kes keganasan rumah tangga. Jadi saya mohon Yang Berhormat Menteri memberikan penjelasan bagaimanakah mereka melibatkan masyarakat NGO di dalam mengendalikan masalah ini.

 

Tuan Yang di-Pertua, keganasan rumah tangga kadang-kadang bukan fizikal. Ini lebih kepada emosional dan juga psiko logikal dan saya difahamkan bahawa pindaan rang undangundang ini telah merangkumi aspek ini. Saya mahu bertanya Yang Berhormat Menteri sama ada kita ada kepakaran dan juga kesediaan untuk mengesan dan merawat masalah-masalah psikologi dan emosional. Satu lagi perkara Yang Berhormat Menteri ialah mengenai kes-kes keganasan yang mana saya difahamkan bahawa lebih kurang 80% kes keganasan ditarik balik iaitu mangsa mula-mula membuat laporan polis dan kemudian 80% daripada kes ini ditarik balik. Nampaknya ini satu masalah sebab mengapa 80% yang ditarik balik. Mungkin ini atas pujukan suami atau orang yang melakukan keganasan itu. Mungkin ada pressure dari tempat lain.

 

Jadi adakah kementerian mengesan perkara ini dan bagaimanakah kes-kes yang di fail boleh dikesan dan menyelesaikan masalah ini. Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya juga membaca di dalam surat khabar bahawa di Pulau Pinang, ada seorang mangsa keganasan rumah tangga. Dia membuat 15 laporan polis dalam tempoh tujuh bulan tetapi pihak polis langsung tidak mengambil tindakan. Nampaknya ini satu perkara yang serius sebab sikap polis yang tidak mengambil keganasan rumah tangga itu serius. Saya meminta jabatan polis yang selalunya terlibat dalam kes-kes keganasan mengambil perkara ini dengan lebih serius.  Banyak kali mangsa memberitahu bahawa pihak polis juga memujuk mereka supaya tarik balik dan selesaikan perkara itu sendiri dan tidak perlu memfailkan kes. Itulah sikap polis yang saya nampak. Jadi saya berharap kementerian lebih serius dan juga jabatan polis pun lebih serius mengendalikan kes yang difailkan.  Dalam kes ini di mana 15 kali laporan polis dibuat dalam tempoh tujuh bulan tetapi polis tidak mengambil apa-apa tindakan. Lebih teruk lagi ialah setiap kali laporan polis dibuat, bekas suami yang mendera itu yang datang pula. Nampaknya  dia ada maklumat dari jabatan polis. Jadi perkara-perkara seharusnya tidak berlaku. Saya harap keganasan rumah tangga boleh dikendalikan dengan lebih profesional dan cekap.  Sekian, terima kasih.

 

 

 

Datuk Heng Seai Kie:

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah telah membangkitkan isu tentang mengapakah 80% kes yang dilaporkan itu ditarik balik dan meminta agar kementerian ini memberikan keterangan tentang  keadaan ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, antara sebab kes-kes ditarik balik adalah seperti berikut iaitu:

 

(i)    campur tangan keluarga;

(ii)   pujukan suami;

(iii) mangsa tidak mahu suaminya didakwa;

(iv) berbaik semula dengan suami setelah mendapat intervensi daripada agensi berkenaan termasuk JKM, dan

(v)   pemangsa merupakan breadwinner keluarga, dengan izin, dan ini akan menjejaskan aspek kewangan keluarga.

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan turut bertanya tentang adakah agensi yang mengendalikan kes-kes rumah tangga dicadangkan bekerjasama dengan semua NGO. Sebenarnya secara umum, kes-kes keganasan rumah tangga adalah dikendalikan oleh pihak polis dari segi perundangan manakala dari aspek perlindungan dan pencegahan, ia dikendalikan oleh kementerian melalui JKM. Sehubungan itu badan pendamai diwujudkan bagi membantu dalam proses ini. Ahli NGO yang mempunyai kepakaran dalam bidang kekeluargaan adalah salah seorang yang dipilih menjadi ahli dalam badan pendamai.

 

Yang Berhormat juga turut bertanya sama ada terdapat anggota jabatan atau agensi yang fasih ataupun faham budaya pelbagai kaum dalam kes-kes keganasan ini. Jika tiada, maka haruslah dilibatkan NGO. Untuk makluman Dewan  yang mulia ini, kementerian sedar akan anggota yang kendali kes keganasan perlulah peka dari segi bahasa dan budaya. Berhubung perkara ini, kementerian mempunyai kaunselor seramai 207 orang daripada pelbagai etnik terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kementerian juga melalui LPPKN telah melantik kaunselor-kaunselor berdaftar seramai 57 orang dari kalangan ahli masyarakat, guru dan pesara untuk membantu dalam khidmat kaunseling di 56 pusat keluarga LPPKN.

 

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Dayang Madinah binti Tun Abang Haji Openg telah membangkitkan isu iaitu tentang kursus pra perkahwinan bagi pasangan Islam yang berkahwin di luar negara. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada masa ini kursus ini tidak diwajibkan kepada pasangan Islam yang berkahwin di luar negara yang kembali semula ke Malaysia. Cadangan Yang Berhormat akan dipanjangkan kepada JAKIM untuk dikaji. Yang Berhormat Senator juga turut mencadangkan agar kita menggalakkan hari keluarga dan membangkitkan isu berkaitan iaitu sama ada kursus-kursus keibubapaan termasuk kepada orang muda harus diadakan.

 

Untuk makluman Yang Berhormat, berikutan dengan kempen kementerian, Utamakan Keluarga, Semakin Hari Semakin Sayang’ pada tahun 2002, kerajaan telah memberi pelepasan cukai sejak tahun 2003 kepada syarikat-syarikat yang kendalikan hari keluarga bagi pekerja mereka. Kini hari keluarga banyak dijalankan oleh agensiagensi kerajaan, swasta dan dalam komuniti. Kementerian melalui LPPKN juga telah pun menjalankan kursus keibubapaan bagi pasangan dwi kerja iaitu parenting at work sejak tahun 2006 bagi pekerja sektor awam dan pihak swasta. Sebanyak 437 program telah pun dijalankan sehingga November 2011 yang meliputi hampir 19,000  ibu dan bapa. Bagi golongan muda, topik keibubapaan telah dimasukkan dalam kurikulum, PLKN dan kokurikulum pembangunan keluarga untuk mahasiswa di universiti mulai tahun ini.

Explore posts in the same categories: Bills for Enactment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: