Dewan Negara Sesi Disember 2011 – Statistik keganasan rumah tangga

SOALAN:

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan:

 

(a)       statistik keganasan rumah tangga mengikut negeri dan kaum bagi tempoh lima tahun yang lepas dan langkah yang diambil kerajaan untuk mengurangkan keganasan rumah tangga; dan

(b)       mengapa seorang wanita tiada hak untuk membela diri sebagai seorang individu tetapi ketika ini wanita dilihat sebagai isteri atau ibu dari segi undang-undang.

JAWAPAN:

 

Tuan Yang Di-Pertua,

(a)       Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPMKM) memandang serius akan kes keganasan rumah tangga yang berlaku di negara ini. Sesungguhnya sebarang konflik dan cabaran rumah tangga perlu diselesaikan dengan berhemah dan bijak tanpa melibatkan keganasan berbentuk fizikal, psikologi, emosi dan mental sama ada kepada suami, isteri, anak-anak ataupun keluarga.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM dari tahun 2006 sehingga Jun 2011 adalah sebanyak 2,986 kes. Bagi tahun 2006 negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Pulau Pinang dengan 135 kes. Bagi tahun 2007, negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Selangor dengan jumlah kes keseluruhan bagi tempoh tersebut adalah 595 kes.

Sepanjang tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011, sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan, diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India, 487 kes kaum Cina, 79 kes peribumi Sabah, 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung dan 31 kes melibatkan kaum lain.

Statistik kes keganasan rumah tangga mengikut negeri dan kaum bagi tahun 2006 hingga Julai 2011 akan dikemukakan secara bertulis kepada Ahli Yang Berhormat.

Tuan Yang Di-Pertua,

Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya untuk mengurangkan insiden keganasan rumah tangga ialah:

  1. Mengambil inisiatif untuk meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Pindaan Akta ini telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 4 Oktober 2011. Antara pindaan yang dibuat ialah:
  1. perluas takrifan keganasan rumah tangga dengan mengambil kira aspek kecederaan emosi dan penderaan mental atau psikologi; dan
  2. mempermudah proses permohonan perintah perlindungan interim (Interim Protection Order) dengan menetapkan permohonan IPO boleh dibuat di daerah lain dari tempat kejadian dan berkuat kuasa di semua tempat di Malaysia.
  1. Mengadakan Seminar Literasi Undang-undang dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia, Women Aid Organization (WAO) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2009 dan telah memberi manfaat kepada 4,562 orang peserta;
  1. Mengadakan Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita di 22 kawasan Parlimen. Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2009 dan telah memanfaatkan 51,775 orang peserta;
  1. Bagi menangani isu ini juga, Bengkel Pengurusan Emosi yang melibatkan 1,619 orang peserta telah diadakan sebanyak 6 kali pada tahun 2010 dan 2 kali sepanjang tahun 2011;
  1. Bagi membantu pasangan menguruskan konflik dan tekanan, modul “Alam Keiububapaan” serta “Menangani Tekanan dan Konfli” telah diintegrasikan dalam Kurusu PraPerkahwinan SMARTSTART LPPKN. Kursus ini disertai oleh pasangan yang akan berkahwin dan baru berkahwin (kurang 5 tahun). Dari tahun 2006 hingga September 2011, sejumlah 404 program telah dilaksanakan dengan disertai oleh lebih 6,998 pasangan. Program dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, NGO dan Badan-badan Agama; dan
  1. Menyedari bahawa kemiskinan dan kesempitan kewangan merupakan salah satu daripada punca penceraian dan masalah sosial, Kementerian melalui LPPKN telah menyediakan program pengurusan kewangan keluarga SMARTbelanja@LPPKN. Program ini bertujuan meningkatkan tahap pemahaman dan kemahiran dalam menguruskan kewangan keluarga secara bijak. Dari tahun2008 hingga September 2011, sebanyak 100 program telah dilaksanakan di mana 5,362 orang ahli keluarga telah mendapat manfaat. Program ini dijalankan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Tuan Yang D-Pertua,

KPWKM juga menyediakan perkhidmatan bagi membantu mangsa keganasan      rumah tangga seperti:

  1. Menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling bagi mengukuhkan emosi dan psikologi mangsa keganasan rumah tangga. Sepanjang tahun 2010 dan 2011, sebanyak 233 kes telah diberi kaunseling oleh agensi di bawah kementerian iaitu 109 kes dikendalikan oleh JKM dan 124 kes dikendalikan oleh JPW; dan
  1. Menyediakan perkhidmatan Talian Nur-15999 sejak 5 Disember 2007 bagi memudahkan orang awam termasuk mangsa keganasan rumah tangga untuk membuat aduan ataupun membuat pertanyaan. Sepanjang tahun 2010 dan 2011, sebanyak 222 adaun kes keganasan rumah tangga diterima melalui Talian Nur.

(b)       Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah menyediakan peruntukan undang-undang yang mencukupi bagi membela hak seorang isteri atau ibu termasuk hak untuk membela diri dan diberi perlindungan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sama ada undang-undang sivil ataupun undang-undang syariah.

Dalam perundangan sedia ada, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] merupakan suatu akta yang memperuntukkan perlindungan undang-undang dalam situasi kegansan rumah tangga dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya. Ini adalah termasuk Perintah Perlindungan, pampasan dan kaunseling terhadap mangsa keganasan rumah tangga. Manakala hukuman yang dikenakan kepada pelaku keganasan rumah tangga adalah berdasarkan kepada bentuk keganasan yang dilakukan seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Manakala bagi hak dan tuntutan wanita dalam perkahwinan, penceraian, nafkah, jagaan dan perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan keluarga adalah dilindungi di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303]/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri bagi orang Islam.

Bagi orang bukan Islam, peruntukan berkenaan perkahwinan dan penceraian dan yang bersampingan dengannya adalah terbela di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan penceraian) 1976 [Akta 164]. Selain itu, wanita bukan Islam turut dilindungi bagi di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Nafkah) 1950 [Akta 263] bagi mengikat suami dalam memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut jumlah nafkah yang ditetapkan oleh mahkamah.

Selain itu, negara kita juga mempunyai undang-undang yang bernama Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 [Akta 34] iaitu Suatu Akta bagi memudahkan penguatkuasaan di Malaysia bagi perintah-perintah nafkah dibuat di negara-negara salingan seperti England, Wales, Republik Singapura dan sebaliknya. Ini bermakna, perintah nafkah yan diberikan oleh Mahkamah di Malaysia bolehlah dikuatkuasakan di negara-negara lain seperti yang dinyatakan dalam Akta ini.

Manakala bagi penguatkuasaan perintah Nafkah, hak wanita turut dilindungi di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968 [Akta 365] yang memperuntukkan Mahkamah boleh membuat tahanan ke atas pendapatan sumai atau bapa melalui pihak majikan.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: