Ucapan Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium

 

 

Kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajan negeri April lepas. Masa yang diambil terlalu lama untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium Sultan Mizan itu kerana kajian JKR (Jabatan Kerja Raya) dan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) parlimen (Malaysia) mendapati ada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Ia bertentangan dengan laporan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri dimana perkara ‘rasuah dan penyelewengan’  tidak dinyatakan dalam laporan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Terengganu.
Dato’ Ahmad Said membentangkan laporan akhir dan merumuskan bahawa semua pihak yang terlibat dengan pembinaan Stadium tersebut terlibat dan menyumbang, menyebabkan bumbung bahagian tempat duduk utama runtuh pada 1 Jun, 2009. Oleh sebab itu, percanggahan ini yang menyebabkan kelambatan proses pembersihan dan pembaikian semua stadium tersebut. Menyentuh isu lain yang sedang diperkatakan oleh rakyat, rakyat harus bangkit dan melihat sendiri kegagalan kerajaan dan Barisan Nasional dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Umno dan Barisan Nasional tidak boleh lagi diberikan ‘amanah’ untuk memerintah negeri Terengganu dan negara Malaysia kerana telah melakukan banyak kerosakan dan penyelewengan. Tambahan pula, Umno Terengganu tidak akan dapat memerintah dan memajukan negeri Terengganu dengan lebih cemerlang kerana mereka sentiasa berbalah sesama sendiri.
Namun yang menimbulkan persoalan besar di kalangan rakyat adalah bagaimana sebuah stadium yang dibina dengan kos yang tinggi dan teknologi yang canggih runtuh dalam masa setahun selepas dirasmikan. Persoalan rakyat ini hanya akan terjawab seandainya laporan penuh yang telus disiarkan untuk dinilai oleh rakyat. Saya ingin bertanya kepada kerajaan apakah mekanisme atau criteria dalam pemberian kontrak untuk projek pembinaan yang berskala besar?

 

Saya juga dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menganugerahkan projek membaik pulih stadium kepada kontraktor yang sama. Saya berpandangan bahawa penganugerahan projek ini adalah tidak munasabah dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat. Ini kerana berdasarkan rekod dan hasil kerja yang lepas, dibimbangi kejadian runtuhan yang sama akan berulang. Seandainya penganugerahan ini atas dasar guaranti daripada kontraktor yang lepas, projek ini seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor.

Namun begitu saya difahamkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikian. Dalam situasi di mana kontraktor asal perlu bertanggungjawab, rakyat melihat tindakan kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sebagai satu tindakan yang tidak tepat kerana kos baik pulih tidak perlu ditanggung oleh kerajaan negeri. Saya ingin menegaskan bahawa projek baik pulih ini seharusnya dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan dipantau oleh pihak-pihak yang berautoriti dengan rapi.

 

Kejadian struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium dilaporkan runtuh itu difahamkan tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang. Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Apatah lagi sebelum ini pun sudah beberapa kes keruntuhan bangunan yang baru siap telah berlaku di negeri itu. Dengan merujuk kepada beberapa kes serupa yang dilaporkan berlaku sebelum ini. Ia termasuklah dua kejadian berasingan melibatkan keruntuhan bumbung dewan besar sebuah sekolah menengah dan siling dalam kelas di sebuah sekolah di Marang. Malah laporan sebelum ini ada menyatakan, beberapa struktur dalaman Bazar Warisan di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang baru siap tidak sampai setahun turut rosak dan runtuh. Sehubungan itu, saya tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, sehingga menyebabkan keruntuhan bumbungnya itu.
Selain itu juga, saya mencadangkan bahawa bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap ‘progress’ mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, tidak mungkin ianya runtuh. Sehubungan itu, saya ingin bertanya apakah hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan dengan kejadian bumbung stadium yang runtuh itu? Adakah mana-mana pihak yang didakwa terlibat dalam rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut?

 

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya juga ingin menyentuh isu berkenaan stadium hoki Petaling Jaya yang tidak gunakan dan tidak diselenggara dengan baik sehingga mengakibatkan beberapa kerosakan. Saya ingin bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan apakah keputusan terakhir cadangan stadium tersebut sama ada perlu dikekalkan atau dinaiktaraf menjadi kompleks sukan serbaguna? Saya menyokong Persatuan Hoki Selangor membantah cadangan untuk menukar status semasa Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada pusat sukan pelbagai guna kerana cadangan merobohkan stadium hoki sedia ada dengan membina kompleks sukan serba guna (indoor) tidak masuk akal kerana ianya akan memakan kos perbelanjaan besar.

Di Selangor, hanya mempunyai tiga padang hoki, yang terletak di Stadium Pandamaran, Stadium MBPJ dan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Hanya padang hoki di UIAM dan Stadium MBPJ boleh digunakan. Padang hoki Stadium Pandamaran memerlukan pembersihan dan pembaikan serius, maka jika Stadium MBPJ diambil, maka akan kehilangan tempat bermain dan pembangunan sukan hoki. Stadium MBPJ itu dilengkapi dengan kemudahan yang baik dan mudah bagi sesiapa yang ingin menggunakannya kerana terletak di tengah-tengah bandar raya Petaling Jaya. Padang hoki PJ ini digunakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada sekolah-sekolah bukan sahaja di Petaling Jaya tetapi juga Shah Alam dan Puchong. Apakah langkah-langkah yang akan dan sedang diambil oleh kementerian belia dan sukan bagi memastikan stadium tersebut digunakan dengan sebaik-baiknya dan dinikmati oleh semua penduduk Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya?

 

Saya berharap agar semua pihak dapat mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan mengelakkan daripada mengulangi kesilapan pada masa-masa yang akan datang.

Explore posts in the same categories: Bills for Enactment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: