EMERGENCY ORDINANCE

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah minta Perdana Menteri menyatakan, mengapa kerajaan masih belum memansuhkan pengisytiharan darurat yang sudah lebih 40 tahun digunakan di negara ini. Sehingga hari ini masih lagi wujud empat Pengisytiharan Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang masih belum dibatalkan. Sejak merdeka terdapat lima keadaan darurat yang diisytiharkan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya satu yang dibatalkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Liew Vui Keong]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan atas soalan ini. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan masih belum memansuhkan Proklamasi Darurat kerana ia masih relevan dan perlu dikekalkan untuk diguna pakai dalam memelihara keselamatan negara, ketenteraman awam dan juga membanteras jenayah. Untuk makluman Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, Proklamasi Darurat boleh dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila keadaan eselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam terancam. Perkara ini termaktub dalam Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut, “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa satu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamata, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.” Sejak kemerdekaan sehingga hari ini sebanyak empat Proklamasi Darurat telah diisytiharkan seperti yang berikut:

(i) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 3 September 1964 bagi seluruh Persekutuan;

(ii) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 15 Mei 1969 bagi keseluruhan Persekutuan;

(iii) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 14 September 1966 di Sarawak; dan

(iv) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 8 November 1977 di Kelantan.

Proklamasi Darurat pada tahun 1964 telah terbatal secara implikasi oleh Proklamasi Darurat pada tahun 1969 sebagai mana yang telah diputuskan oleh Privy Council dalam kes The Cheng Poh lawan Public Prosecutor [1979] 1MLJ 50. Tiga Proklamasi Darurat yang masih wujud ialah Proklamasi Darurat pada tahun 1966 di Sarawak, Proklamasi Darurat pada tahun 1969 di Persekutuan dan Proklamasi Darurat pada tahun 1977 di Kelantan.

Proklamasi Darurat pada tahun 1969 masih berkuat kuasa terhadap Proklamasi Darurat pada tahun 1977 dengan jelas tidak menyentuh Proklamasi Darurat pada tahun 1969. Dalam Proklamasi Darurat 1977, terdapat peruntukan yang menyatakan, “dan Beta adalah dengan ini mengakui bahawa pengisytiharan ini tidaklah dengan apa-apa cara mengurangkan kuasa tetapi hendaklah menjadi tambahan kepada Pengisytiharan Darurat yang dikeluarkan oleh Beta pada

15 Mei 1969 yang disiarkan dalam Warta No. P.U.(A)145 pada tarikh yang sama”. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau ia terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh Dewan Rakyat atau pun Dewan Negara yang mengungkai ataupun dengan izin, a null proklamasi atau ordinan itu. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya, menurut kuasa proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu proklamasi baru di bawah fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah fasal (2B) melainkan jika proklamasi darurat diungkai atau dibatalkan di bawah fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, maka Proklamasi Darurat akan berterusan. Sebagai tambahan, fasal (2C) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa sesuatu ordinan yang dimansuhkan di bawah fasal (2B) akan terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolaholah ordinan ini ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkai di bawah fasal (3) Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berpandangan Ordinan Darurat didapati perlu untuk memperteguh usaha ke arah mengekalkan ketenteraman dan juga keselamatan awam demi menghadapi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi negara dan juga perpaduan rakyat. Selain itu, negara-negara luar juga dilihat cenderung membuat undangundang yang mirip dengan undang-undang yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat 1969 seperti Anti-Terrorism Act, Crime and Security Act 2001 di United Kingdom dan juga the US Patriot Act of 2001 di Amerika Syarikat. Sekian, terima kasih.

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Menteri, pada 2 Julai, enam orang iaitu seorang Ahli Parlimen dan lima orang political activist telah ditahan di bawah Emergency Ordinance 1969. Yang Berhormat Timbalan Menteri, ada satu suruhanjaya yang ditubuhkan dalam tahun 2005 yang mencadangkan bahawa akta-akta ini sudah outlive its purpose dan mesti dihapuskan. Akan tetapi sehingga sekarang akta-akta ini tidak dihapuskan dan sekarang enam orang ditahan atas akta yang tidak relevan lagi. Polis kata bahawa mereka ada substantive evidence, bahawa kumpulan ini ada material untuk overthrow the government.

Kalau begitu, kenapa polis tidak dakwa mereka di mahkamah, di bawah Penal Code. Kenapa charge mereka di atas Emergency Ordinance di mana mereka tidak boleh tahan mereka sendiri.

Itu sahaja. Terima kasih.

 

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan. mengenai alasan di mana enam orang yang telah pun ditahan termasuk seorang Ahli Parlimen, saya hanya mendapat tahu daripada surat khabar mengenai alasan-alasan mereka ditahan. Jadi, saya tidak adalah locus standi yang sebenarnya untuk menjelaskan kepada Yang Berhormat kenapa mereka ditahan. Akan tetapi sememangnya saya yakin bahawa pihak autoriti, pihak polis ada alasan-alasan yang kukuh di mana mereka telah pun melanggar undang-undang di bawah Akta Ordinan Darurat ini kerana didapati ada ancaman yang dibuat oleh pihak mereka yang mengganggu ketenteraman awam.

 

Selain daripada itu, mengenai isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat iaitu kenapa mereka tidak dibawa ke Mahkamah Keadilan. Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah Ordinan Darurat ini, individu-individu yang ditahan diberikan kuasa dan hak untuk diberitahu dengan alasan kenapa mereka ditahan, seberapa yang boleh dan juga mengenai penyataan fakta kepada individu yang tersebut, berdasarkan daripada perintah-perintah tahanan yang diberikan dan dikeluarkan kepada mereka. Mereka juga berpeluang untuk membuat representasi terhadap perintah tersebut kepada lembaga penasihat.

 

Untuk makluman Yang Berhormat, lembaga penasihat ini dipengerusikan oleh seorang pengerusi di mana tarafnya adalah seperti Hakim Mahkamah Persekutuan atau Federal Court Judge. Saya difahamkan – dan saya pun pernah pergi untuk membuat representasi di lembaga penasihat, di mana prosiding di situ tidaklah formal seperti di mahkamah. Less formality, di mana tahanan boleh buat rayuan kepada lembaga penasihat dan lembaga penasihat akan menasihati Seri Paduka Baginda Tuanku sama ada mereka yang ditahan itu dilepaskan ataupun tidak. Jadi, seperti Yang Berhormat sedia maklum bahawa Ordinan Darurat ini adalah satu ordinan yang preventif untuk mempreventkan sesuatu yang berlaku. Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini saya difahamkan bahawa Kementerian Dalam Negeri dalam usaha untuk mempertimbangkan beberapa isu dan juga akta-akta preventif untuk dikaji semula. Jadi, saya serahkan kepada kementerian berkenaan untuk membuat pengumuman seterusnya. Itu sahaja yang saya boleh katakan.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a comment