Potongan subsidi

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011

 

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA      : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH            : 4 JULAI 2011 (ISNIN)

 

Soalan 

Dr. S. Ramakrishnan minta PERDANA MENTERI menyatakan wajarkah kerajaan memotong subsidi yang selama ini diberikan kepada rakyat kerana mengikut laporan Bank Dunia gaji hanya meningkat 2.6 peratus dalam tempoh 15 tahun. Potongan subsidi menyebabkan rakyat semakin menderita akibat kenaikan harga barang dan yang lebih parah gaji minimum masih belum dilaksanakan.

 

Jawapan

 

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan akan terus mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2010 kepada 5.4% tahun ini. Ianya akan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan. Sekiranya defisit fiskal  tidak dikawal, ia akan memberi gambaran yang kurang baik terhadap pasaran khususnya di kalangan agensi penarafan antarabangsa mengenai kesungguhan kerajaan untuk mengawal defisit fiskal dan mengamalkan disiplin kewangan. Dalam hal ini, paras defisit fiskal negara dijadikan salah satu penanda aras yang penting oleh agensi penarafan untuk menentukan keberkesanan kerajaan menguruskan kewarganegaraan negara. Dalam Bajet 2011, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM23.7 bilion atau 14.6% daripada perbelanjaan mengurus bagi keseluruhan subsidi.

Kenaikan harga komoditi utama dunia termasuk minyak mentah dan minyak sawit mempunyai kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan berikutan ia merupakan antara komponen terbesar dalam perbelanjaan subsidi. Sehubungan itu, kerajaan telah mengapungkan secara terkawal harga runcit petrol RON97 supaya ia selaras dengan harga minyak mentah di pasaran dunia. Selain itu, untuk mengekalkan harga runcit RON95, diesel (tidak termasuk LPG, kerajaan juga terpaksa menambah peruntukan bagi subsidi petroleum, diesel dan LPG sebanyak RM5.6 bilion daripada RM10.3 bilion kepada RM15.9 bilion bagi tahun 2011. Peruntukan bagi subsisidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak juga ditambah sebanyak MR700 juta daripada RM928 juta kepada RM1.6 nbilion bagi tahun 2011.

Pada bulan Mei 2011, subsidi gula telah dikurangkan 20 sen yang dijangka memberi penjimatan sebanyak RM117 juta. Walau bagaimanapun, kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak RM238 juta. Selain itu, pemansuhan diesel super subsidi bagu pengangkutan darat tertentu seperti prime mover, kargo am dan teksi limosin serta nelayan laut dalam (zon C2) mulai 1 jun 2011 dijangka menghasilkan penjimatan sebanyak RM712 juta.

Langkah rasionalisasi subsidi adalah perlu dalam usaha untuk memastikan peruntukan sumber yang lebih cekap, mengurangkan herotan pasaran dan aktiviti penyeludupan serta meringankan beban fiskal kerajaan. Subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan mendorogn penggunaan secara berlebihan. Malahan, industri tidak mempunyai dorongan untuk menambah baik dan mempertingkatkan produktiviti memandangkan kos input diberi subsidi. Kesan subsidi yang tidak diingini telah menjurus kepada peruntukan sumber yang tidak optimal, memberi kesan ke atas kecekapan dalam jangka masa panjang. Sehubungan itu, apabila subsidi tidak menepati kumpulan sasaran, sejumlah besar dana awam tidak dapat disalurkan kepada program yang memberi faedah kepada rakyat.

Menyedari kesan negative, kerajaan telah mengambil langkah penstrukturan semula subsidi. Peralihan kepada mekanisme pasaran bagi menentukan harga dan output akan membawa kepada peruntukan sumber yang lebih cekap, pengurangan pembaziran dan peningkatan kecekapan. Rasionalisasi subsidi ini akan dilaksanakan secara teliti dan beransur-ansur agar ia memberi kesan yang minimum kepada pengguna dan perniagaan serta mengekang tekanan inflasi.

Kerajaan telah mengambil pelbagai usaha untuk membantu golongan mudah terjejas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang. Antara langkah yang diambil termasuk:

  • Meneruskan pemberian subsidi bagi petro RON95, diesel dan LPG serta barangan makanan seperti beras ST15%, gula, dan tepung gandum;
  • Menyeragamkan harga di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia, pedalaman Sabah dan Sarawak bagi harga keperluan asas seperti beras, tepung gandum, gula serta petrol, diesel dan gas masak. Bagi tahun ini, peruntukan sebanyak RM200 juta telah sedia di bawah Program Pengedaran Barang Perlu;
  • Meningkatkan penguatkuasaan ke atas kawalan harga dan bekalan barangan yang dikawal supaya para peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga. Sehubungan ini, kerajaan telah menggubal Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang berkuat kuasa pada 1 April 2011. Akta ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mengekang syarikat atau individu menjual barangan atau menawarkan perkhidmatan pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran secara melampau;
  • Memantau bekalan barangan keperluan supaya tidak berlaku kekurangan penawaran yang boleh memberi kesan kepada harga;
  • Memansuhkan duti import ke atas beberapa jenis barang makanan;
  • Memperuntukan sebanyak RM974 juta sebagai pemberian subsidi padi, baja, dan benih padi, RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi serta RM170 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan bagi tujuan meningkatkan pengeluaran makanan;
  • Mewujudkan portal interaktif “1Malaysia Pengguna Bijak” bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi 7 ribu premis perniagaan di seluruh negara;
  • Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan selama 5 tahun sehingga 2015.

Tuan Yang di-Pertua,

Subsidi masih merupakan satu daripada instrument dasar yang perlu dilaksanakan secara berhemat bagi tujuan dan tempoh tertentu yang khusus. Kerajaan kekal komited ke arah merasionalisasikan subsidi tetapi pada masa yang sama perkhidmatan kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan pengangkutan udara serta keretapi di luar bandar akan terus diberikan subsidi. Golongan miskin dan mudah terjejas akan terus menerima bantuan melalui pengukuhan jaringan keselamatan sosial.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: