Archive for July 2011

EMERGENCY ORDINANCE

July 19, 2011

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah minta Perdana Menteri menyatakan, mengapa kerajaan masih belum memansuhkan pengisytiharan darurat yang sudah lebih 40 tahun digunakan di negara ini. Sehingga hari ini masih lagi wujud empat Pengisytiharan Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang masih belum dibatalkan. Sejak merdeka terdapat lima keadaan darurat yang diisytiharkan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya satu yang dibatalkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Liew Vui Keong]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan atas soalan ini. Tuan Yang di-Pertua, kerajaan masih belum memansuhkan Proklamasi Darurat kerana ia masih relevan dan perlu dikekalkan untuk diguna pakai dalam memelihara keselamatan negara, ketenteraman awam dan juga membanteras jenayah. Untuk makluman Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, Proklamasi Darurat boleh dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila keadaan eselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam terancam. Perkara ini termaktub dalam Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang berikut, “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa satu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamata, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.” Sejak kemerdekaan sehingga hari ini sebanyak empat Proklamasi Darurat telah diisytiharkan seperti yang berikut:

(i) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 3 September 1964 bagi seluruh Persekutuan;

(ii) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 15 Mei 1969 bagi keseluruhan Persekutuan;

(iii) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 14 September 1966 di Sarawak; dan

(iv) Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 8 November 1977 di Kelantan.

Proklamasi Darurat pada tahun 1964 telah terbatal secara implikasi oleh Proklamasi Darurat pada tahun 1969 sebagai mana yang telah diputuskan oleh Privy Council dalam kes The Cheng Poh lawan Public Prosecutor [1979] 1MLJ 50. Tiga Proklamasi Darurat yang masih wujud ialah Proklamasi Darurat pada tahun 1966 di Sarawak, Proklamasi Darurat pada tahun 1969 di Persekutuan dan Proklamasi Darurat pada tahun 1977 di Kelantan.

Proklamasi Darurat pada tahun 1969 masih berkuat kuasa terhadap Proklamasi Darurat pada tahun 1977 dengan jelas tidak menyentuh Proklamasi Darurat pada tahun 1969. Dalam Proklamasi Darurat 1977, terdapat peruntukan yang menyatakan, “dan Beta adalah dengan ini mengakui bahawa pengisytiharan ini tidaklah dengan apa-apa cara mengurangkan kuasa tetapi hendaklah menjadi tambahan kepada Pengisytiharan Darurat yang dikeluarkan oleh Beta pada

15 Mei 1969 yang disiarkan dalam Warta No. P.U.(A)145 pada tarikh yang sama”. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau ia terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh Dewan Rakyat atau pun Dewan Negara yang mengungkai ataupun dengan izin, a null proklamasi atau ordinan itu. Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya, menurut kuasa proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu proklamasi baru di bawah fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah fasal (2B) melainkan jika proklamasi darurat diungkai atau dibatalkan di bawah fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, maka Proklamasi Darurat akan berterusan. Sebagai tambahan, fasal (2C) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa sesuatu ordinan yang dimansuhkan di bawah fasal (2B) akan terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolaholah ordinan ini ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkai di bawah fasal (3) Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian Tuan Yang di-Pertua, kerajaan berpandangan Ordinan Darurat didapati perlu untuk memperteguh usaha ke arah mengekalkan ketenteraman dan juga keselamatan awam demi menghadapi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi negara dan juga perpaduan rakyat. Selain itu, negara-negara luar juga dilihat cenderung membuat undangundang yang mirip dengan undang-undang yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat 1969 seperti Anti-Terrorism Act, Crime and Security Act 2001 di United Kingdom dan juga the US Patriot Act of 2001 di Amerika Syarikat. Sekian, terima kasih.

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Menteri, pada 2 Julai, enam orang iaitu seorang Ahli Parlimen dan lima orang political activist telah ditahan di bawah Emergency Ordinance 1969. Yang Berhormat Timbalan Menteri, ada satu suruhanjaya yang ditubuhkan dalam tahun 2005 yang mencadangkan bahawa akta-akta ini sudah outlive its purpose dan mesti dihapuskan. Akan tetapi sehingga sekarang akta-akta ini tidak dihapuskan dan sekarang enam orang ditahan atas akta yang tidak relevan lagi. Polis kata bahawa mereka ada substantive evidence, bahawa kumpulan ini ada material untuk overthrow the government.

Kalau begitu, kenapa polis tidak dakwa mereka di mahkamah, di bawah Penal Code. Kenapa charge mereka di atas Emergency Ordinance di mana mereka tidak boleh tahan mereka sendiri.

Itu sahaja. Terima kasih.

 

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dr. Ramakrishnan. mengenai alasan di mana enam orang yang telah pun ditahan termasuk seorang Ahli Parlimen, saya hanya mendapat tahu daripada surat khabar mengenai alasan-alasan mereka ditahan. Jadi, saya tidak adalah locus standi yang sebenarnya untuk menjelaskan kepada Yang Berhormat kenapa mereka ditahan. Akan tetapi sememangnya saya yakin bahawa pihak autoriti, pihak polis ada alasan-alasan yang kukuh di mana mereka telah pun melanggar undang-undang di bawah Akta Ordinan Darurat ini kerana didapati ada ancaman yang dibuat oleh pihak mereka yang mengganggu ketenteraman awam.

 

Selain daripada itu, mengenai isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat iaitu kenapa mereka tidak dibawa ke Mahkamah Keadilan. Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah Ordinan Darurat ini, individu-individu yang ditahan diberikan kuasa dan hak untuk diberitahu dengan alasan kenapa mereka ditahan, seberapa yang boleh dan juga mengenai penyataan fakta kepada individu yang tersebut, berdasarkan daripada perintah-perintah tahanan yang diberikan dan dikeluarkan kepada mereka. Mereka juga berpeluang untuk membuat representasi terhadap perintah tersebut kepada lembaga penasihat.

 

Untuk makluman Yang Berhormat, lembaga penasihat ini dipengerusikan oleh seorang pengerusi di mana tarafnya adalah seperti Hakim Mahkamah Persekutuan atau Federal Court Judge. Saya difahamkan – dan saya pun pernah pergi untuk membuat representasi di lembaga penasihat, di mana prosiding di situ tidaklah formal seperti di mahkamah. Less formality, di mana tahanan boleh buat rayuan kepada lembaga penasihat dan lembaga penasihat akan menasihati Seri Paduka Baginda Tuanku sama ada mereka yang ditahan itu dilepaskan ataupun tidak. Jadi, seperti Yang Berhormat sedia maklum bahawa Ordinan Darurat ini adalah satu ordinan yang preventif untuk mempreventkan sesuatu yang berlaku. Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini saya difahamkan bahawa Kementerian Dalam Negeri dalam usaha untuk mempertimbangkan beberapa isu dan juga akta-akta preventif untuk dikaji semula. Jadi, saya serahkan kepada kementerian berkenaan untuk membuat pengumuman seterusnya. Itu sahaja yang saya boleh katakan.

Advertisements

Kriteria pemberian biasiswa JPA

July 14, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011

 

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA      : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH            : 12 JULAI 2011 (SELASA) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PELAJARAN menyatakan: 

(a)          statistik pelajar lepasan SPM tahun 2010 yang mendapat biasiswa JPA mengikut kaum; dan

(b)          apakah kriteria yang digunakan dalam pemilihan pelajar yang layak mendapat biasiswa JPA dan mengapa kriteria ini tidak diumumkan kepada rakyat. Bagaimana kerajaan dapat menjamin ketelusan dalam pemberian biasiswa JPA ini dan mengapa ada pelajar yang mendapat 10A tidak ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi pelajar yang mendapat 4A pula yang diberi.

 

Jawapan         : YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ

                          MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

(a)          Tuan Yang di-Pertua,

Bagi tahun 2011, JPA telah menawarkan 1,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 2,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) bagi pelajar lepasan SPM 2010. Pecahan penawaran biasisawa PILN dan PIDN bagi pelajar lepasan SPM 2010 mengikut kaum adalah seperti berikut:

BIL

KAUM

PILN

PIDN

JUMLAH

1

BUMIPUTERA

882

1,301

2,183

Melayu

726

1,247

1,973

Bumiputera Sabah

77

16

93

Bumiputera Sarawak

79

16

93

2

Bukan Bumiputera

618

1,199

1,817

Cina

466

1,086

1,552

India

137

108

245

Lain-lain

15

5

20

Jumlah

1,500

2,500

4,000

(b)          Tuan Yang di-Pertua,

Bagi mendapatkan calon yang memiliki personality unggul (wholesome personality), Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009 memutuskan bahawa kriteria pemilihan Program Ijazah Luar Negara (PILN) bukan melihat kepada kecemerlangan akademik sahaja, tetapi turut mengambil kira latar belakang sosioekonomi keluarga, kokurikulum dan temu duga berdasarkan empat kategori seperti berikut:

(i)            Kategori 1 – Biasiswa berasaskan kecemerlangan pelajar, sebanyak 20% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Untuk kategori ini, pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (85%), kokurikulum (10%) dan temu duga (5%). Latar belakang dan kedudukan sosioekonomi calan tidak diambil kita.

(ii)          Kategori 2 – Biasiswa berasaskan komposisi kaum, sebanyak 60% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Di bawah kategori ini, pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (75%), kokurikulum (10%), latar belakang dan kedudukan sosioekonomi  keluarga (10%) dan temu duga (5%). Pembahagian biasiswa adalah mengikut peratusan komposisi rakyat Malaysia.

(iii)        Kategori 3 – Biasiswa untuk kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 10% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Penajaan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan agihan 5% untuk Bumiputera Sabah dan 5% untuk Bumiputera Sarawak. Pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (65%), kokurikulum (5%), latar belakang sosioekonomi keluarga (25%) dan temu duga (5%).

(iv)         Kategori 4 – Biasiswa untuk golongan socially disadvantaged, sebanyak 10% daripada jumlah biasiswa yang disediakan. Penajaan adalah untuk pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan dan suasana pembelajaran yang terhad dan daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan akademik (65%), kokurikulum (5%), latar belakangn sosioekonomi keluarga (25%) dan temu duga (5%).

Tuan Yang di-Pertua,

Pemberian biasiswa JPA di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) yang sering menjadi isu adalah disebabkan kurangnya kefahaman masyarakat mengenai kriteria dan prinsip pemilihan calon. Pelbagai usaha telah dilaksanakan setiap tahun untuk memberikan kefahaman mengenai pelaksanaan penajaan JPA melalui pelbagai media di seluruh negara termasuk di laman web JPA. Namun begitu, masih berlaku salah faham dan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat terutamanya keluarga yang gagal ditawarkan penajaan ke luar negara.

Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, kecemerlangan akademik yang ditimbangkan adalah berdasarkan sembilan mata pelajaran utama sahaja, mengikut kesesuaian bidang pengajian yang dipohon oleh pelajar. Had ini ditetapkan bagi memastikan semua calon bertanding di atas level playing field (dengan izin), kerana tidak semua sekolah mempunyai kemampuan dan membenarkan pelajar mengambil lebih daripada sembilan mata pelajaran.

Antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad setelah mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan. Di samping itu, ramai pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti bidang sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara memandangkan bidang-bidang yang ditawarkan terhad mengikut keperluan guna tenaga sektor awan dan negara.

Selain itu, penawaran biasisawa adalah mengikut markah keseluruhan yang diperoleh pelajar. Pelajar yang gagal ditawarkan biasiswa adalah pelajar yang memperoleh markah keseluruhan yang rendah dalam bidang masing-masing mengikut kategori dan kriteria yang ditetapkan.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi menangani isu pemberian biasiswa JPA yang berbangkit setiap tahu, JPA sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang. Pengagihan biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang setiap tahun telah mencerminkan dasar kerajaan yang menyeluruh memandangkan pelaksanaannya telah dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan Keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009.

Sekian, terima kasih.

Bilangan hakim di Malaysia

July 14, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011 

PERTANYAAN        : LISAN

DARIPADA               : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH                     : 11 JULAI 2011 (ISNIN) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta PERDANA MENTERI menyatakan:

(a)         apakah pelan tindakan Kerajaan bagi menambahkan bilangan hakim di Malaysia supaya bebanan kes yang terpaksa ditanggung oleh setiap hakim dapat dikurangkan dan kes-kes dapat diselesaikan dengan cepat. Ini kerana bilangan hakim di negara kita sangat sedikit berbanding dengan negara komanwel yang lain seperti India, Australia, England, dan Kanada; dan 

(b)        adakah hakim-hakim di negara ini dibahagikan mengikut kelas-kelas tertentu seperti hakim yang menunjukkan prestasi yang tinggi atau tidak dan pakar atau tidak pakar. 

 

Jawapan       : YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ

                          MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI 

(a)         Tuan Yang di-Pertua,

Jumlah hakim-hakim mahkamah atasan yang dilantik adalah tidak melebihi dari bilangan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan telah dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa berdasarkan bebanan tugas. Berikutan dengan bebanan tugas yang banyak di Mahkamah Tinggi maka berkuat kuasa 1 Oktober 2006 melalui P.U.(A) 384, bilangan hakim di Mahkamah Tinggi Malaya telah ditambah menjadi tidak boleh melebihi enam puluh orang dan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak tidak melebihi tiga belas orang. Mulai 1 Mei 2009 melalui P.U. (A) 164, bilangan Hakim Mahkamah Rayuan pula telah ditambah tidak boleh melebihi sebelas orang. Ini untuk memastikan bebanan kes yang terpaksa ditanggung oleh setiap hakim dikurangkan . Jumlah hakim-hakim yang dilantik dari tahun 2006 hingga 30 Jun 2011 adalah seperti Jadual 1:

 Jadual 1

Bilangan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang Dilantik mengikut tahun

 

2006

2007

2008

2009

2010

2011 (sehingga 30.6.2011)

Hakim Mahkamah Persekutuan

1

3

6

1

Hakim Mahkamah Rayuan

7

7

8

4

5

Hakim Mahkamah Tinggi

3

18

6

18

3

Bilangan Hakim Mahkamah Atasa sehingga 20 Jun 2011 adalah seperti berikut di Jadual 2. 

Jadual 2

Bilangan Hakim Mahkamah Atasan pada 30 Jun 2011

Jawatan

Bilangan Hakim Mahkamah Atasan

Ketua Hakim Negara

1

Presiden Mahkamah Rayuan

1

Hakim Besar Mahkamah Tinggi

Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak

1

Hakim Mahkamah Persekutuan

1

Hakim Mahkamah Rayuan

24

Hakim Mahkamah Tinggi

55

Jumlah

90

Bagi mengatasi masalah bilangan kes tertunggak yang banyak di Mahkamah Tinggi dan supaya ianya dapat diselesaikan dengan cepat, Kerajaan telah melantik Pesuruhjaya Kehakiman seperti yang diperuntukan dalam Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan dan pada 30 Jun 2011 jumlah Pesuruhjaya Kehakiman adalah seramai 42 orang.

(b)        Pada prinsipnya hakim-hakim di negara ini tidak dibahagikan mengikut kelas-kelas tertentu. Di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana terdapat bilangan kesnya tinggi maka diwujudkan pengkhususan yang terdiri daripada Bahagian Dagang, Bahagian SIvil dan Bahagian Jenayah. Bagi mempercepatkan penyelesaian kes di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagangan telah diwujudkan Mahkamah Tinggi NCC (New Commercial Court) bagi mendengar kes-kes yang difailkan pada dan selepas 1 September 2009. Kes-kes di Bahagian Dagang yang sedia ada telah dikendalikan oleh beberapa hakim mahkamah tinggi yang tertentu. Dengan tertubuhnya NCC, kes dagang yang difailkan selepas 1 September 2009 telah dapat dilupuskan tidak melebihi 9 bulan dari tarikh yang difailkan. Ini adalah merupakan kejayaan kepada mahkamah. Manakala kes-kes bahagian dagang sedia ada yang jumlahnya 4037 pada 1 September 2009 telah berkurang jumlahnya menjadi 293 pada 1 Mei 2011 dan dijangka akan selesai pada akhir tahun 2011.

Berikut dengan kejayaan Mahkamah NCC ini, konsep yang sama telah diperluaskan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Bahagian Sivil, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dan Mahkamah Tinggi Johor. Di samping itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terdapat juga mahkamah yang mendengar kes-kes khusus seperti kes muamalat, kes keluarga, harta intelek, dan admiralti.

Bon air Negeri Selangor

July 14, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011 

 

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA      : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH            : 12 JULAI 2011 (SELASA) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan: 

(a)          dari manakah sumber kewangan kerajaan untuk menyelamatkan (Bailout) bon-bon air bernilai RM6.5 bilion melalui penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); dan 

(b)          adakah tindakan ini sehaluan dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). 

 

Jawapan 

Tuan Yang di-Pertua,

Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor masih belum dapat dimuktamadkan walaupun kerajaan Persekutuan telah mengambil pelbagai inisiatif dengan mengadakan rundingan demi rundingan serta mengemukakan pelbagai cadangan sebagai jalan penyelesaian. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani masalah-masalah yang timbul disebabkan kelewatan memuktamadkan penstrukturan ini bagi mengelakkan pelbagai kesan buruk kepada industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor yang seterusnya akan menyusahkan pengguna-pengguna air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tuan Yang di-Pertua,

 

Saya juga ingin menegaskan bahawa tiada elemen “bail-out”, dengan izin, dalam urusan pengambilalihan bon-bon ini. Dalam cadangan tersebut, pengambilalihan bon-bon air dibuat oleh Acqua SPV Berhad melalui kaedah pembelian secara rundingan dengan pemegang-pemegang bon sedia ada manakala pembiayaannya pula diperoleh melalui pasaran terbuka, bukannya disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Saya juga ingin menegaskan bahawa pengambilalihan ini tidak akan sekali-kali melepaskan syarikat-syarikat airdi negeri Selangor yang mengeluarkan bon-bon tersebut daripada obligasi membayar balik liability sebagaimana obligasi masing-masing sebelum bon-bon tersebut diambil alih oleh Acqua SPV Berhad. Oleh itu, pengambilalihan tersebut hanya perlu dilihat sebagai pertukaran pelabur daripada pemegang-pemegang bon sedia ada kepada Acqua SPV Berhad sahaja.

Tuan Yang di-Pertua,

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan kawal selia telah memberi kelulusan bagi pengambilalihan bon-bon air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Pengelasan anak Bumiputera Sarawak

July 14, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011 

 

PERTANYAAN        : LISAN

DARIPADA               : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH                     : 6 JULAI 2011 (RABU) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf anak yang bapanya Bumiputra dan ibunya bukan Bumiputra sebagai Bumiputra. Sedangkan mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak jika salah seorang ibubapa adalah Bumiputra, anak akan dikelaskan sebagai Bumiputra. Ini berikutan terdapat kes di mana ada pelajar dari negeri Sarawak yang ditolak permohonan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA disebabkan bukan Bumiputra. 

Jawapan       : Datuk Liew Vui Keong

                          Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 

Tuan Yang di-Pertua,

Secara khususnya, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di negara ini tidak mengandungi apa-apa sebutan mengenai bumiputera. Secara umumnya, Kamus Dewan menjelaskan bahawa “Bumiputera” sama maksudnya dengan peribumi iaitu merujuk anak negeri atau penduduk asli.

Oleh yang demikian, Kerajaan merujuk “Bumiputera” sebagai warganegara Malaysia yang tergolong dalam mana-mana 3 kategori iaitu “Orang Asli” yang merupakan orang asli Semenanjung Tanah Melayu menurut takrif “Orang Asli” dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan seksyen 3 Akta 134. Manakala “Orang Melayu” sebagaimana ditakrifkan menurut Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, dan “anak negeri” sebagaimana yang ditakrifkan menurut Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Interpretation (Definition of Native) Ordinance Sabah merupakan rakyat Malaysia yang mempunyai kedudukan istimewa yang dilindungi oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bersandarkan peruntukan tersebut, orang asli, orang Melayu, dan anak negeri Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai Bumiputera.

Fasal (1) Perkara 44 Perlembagaan Negeri Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa “Native” has the same meaning as it has in the Federal Constitution for the purpose of the application of Article 153 thereof to Natives of the States”. Ini bermakna takrif “Anak Negeri” mempunyai erti yang sama sebagaimana yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perenggan (6)(a) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa “anak negeri” berhubung dengan negeri Sarawak ertinya:

            “Seseorang yang merupakan warganegara dan sama ada yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) sebagai ras asli bagi Negeri itu atau yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-ras itu.”

Fasal (7) Perkara 161A memperuntukkan bahawa ras-ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak bagi maksud takrif “anak negeri” dalam Fasal (6) Perkara 161A ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak Lauk, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun, dan Ukit.

Ini bermakna Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf anak negeri Sarawak yang tergolong dalam salah satu ras asli bagi Sarawak atau yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata (exclusive) daripada ras-ras itu. Maka oleh yang demikian, anak yang lahir daripada perkahwinan sesama ras asli merupakan anak negeri. Namun begitu, jika perkahwinan (perkahwinan campuran) antara anak negeri dengan orang yang bukan anak negeri maka anak yang lahir daripada perkahwinan sedemikian bukan anak negeri.

Ungkapan takrif anak negeri berhubung dengan Sarawak diperjelaskan dalam report of the Commission of Enquiry, North Borneo and Sarawak. 1962 atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold yang menyatakan seperti yang berikut:

“We recommend that the provisions should apply to those citizens who are…regarded as natives within the meaning of Section 3 of the Interpretation Ordinance, 1953 (see Appendix D)”

Suruhanjaya Cobbold semasa memperkatakan tentang “Special Position of the Indegenuous Races” mengambil pendekatan sedemikian untuk mengimbangi kedudukan antara anak negeri dengan bukan anak negeri sebagaimana yang dinyatakan seperti yang berikut:

“We recognise that the subject would be more complicated in a new Federation than in the existing Federation of Malaya. In the new Federation it would not only be necessary to consider relations between the natives and the non-natives but also to hold a balance between the different native races in the Borneo territories, and at the same time between the natives races as a whole in the Borneo territories and the Malays in Malaya. 

            This special position of the native races, more particularly as it relates to special treatment in the matter of permits and licences in trade and business, would need very careful handling. We recommend that an Advisory Board, including representatives of the principle races, should be appointed in each territory, to advise on its interpretation and administration.”

Oleh yang demikian, hanya anak yang lahir daripada keturunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan merupakan anak negeri.

Sehubungan dengan itu, kenyataan YB bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf anak yang bapanya Bumiputera dan ibunya bukan Bumiputera sebagai Bumiputera sedangkan mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak jika salah seorang ibu bapa adalah Bumiputera, anak akan dikelaskan sebagai Bumiputera, merupakan kenyataan yang tidak tepat.

Justeru itu, kedua-dua ibu dan bapa hendaklah berasal daripada ras-ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan untuk melayakkan zuriat hasil perkahwinan tersebut dikategorikan sebagai anak negeri dan seterusnya dikelaskan sebagai bumiputera. Sehubungan dengan itu, peruntukan ini juga membawa maksud bahawa jika hanya salah seorang ibu atau bapa yang merupakan anak negeri manakala seorang lagi bukan anak negeri, maka zuriat hasil daripada perkahwinan tersebut tidak dapat dikategorikan sebagai anak negeri dan bumiputera.

Sekian, terima kasih.

Polisi pengangkutan negara

July 14, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011 

 

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA      : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH            : 5 JULAI 2011 (SELASA) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah polisi pengangkutan nasional jika melihat peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya, kita akan menghadapi masalah besar kerana jalan yang sempit dan apakah langkah segera bagi menambah bilangan pengangkutan awam dan mengurangkan kenderaan persendirian. 

Jawapan         : Datuk Liew Vui Keong

                          Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  

Tuan Yang di-Pertua,

Sebagai agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengawal selia sektor pengangkutan awam di negara ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang megambil inisiatif bagi meneliti dan mengkaji pelbagai isu semasa berhubung perkhidmatan ini. Salah satu isu yang sedang diberi tumpuan adalah menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama kepada pengguna untuk berhubung berbanding menggunakan kenderaan persendirian.

Beberapa inisiatif yang dirancang tersebut kini telah dilaksanakan dan telah banyak menyumbang ke arah pencapaian sasaran yang ditetapkan. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan meliputi:

(a)   Inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Pengangkutan Awam Bandar

  • Pengenalan perkhidmatan Bus Expressway Transit (BET);
  • Peningkatan kualiti serta liputan hentian bas;
  • Memperkenalkan sistem Tiket Pintar Bersepadu melibatkan bayaran tanpa tunai;
  • Menetapkan tahap perkhidmatan minima dan memperkenalkan sistem pemantauan ke atas semua pengusaha pengangkutan awam; dan
  • Menyediakan laluan khas bagi bas dan meluaskan liputan perkhidmatan.

(b)   Inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA)

  • Membina Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Bandar yang Bersepadu; dan
  • Menghubungkan dengan Singapura melalui sistem Sistem Keretapi Berkelajuan Tinggi.

(c)    Inisiatif di bawah Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat (National Land Public Transport Master Plan)

  • Pembangunan Land Public Transport Toolkit bagi tujuan menyelaraskan penyediaan pelan pengangkutan awam darat setiap negeri/agensi berdasarkan amalan terbaik (best practices);
  • Penyediaan Pelan Pembangunan Rel Bandar bagi Greater KL/Klang Valley, di mana ianya merangkumi penambahbaikkan aset-aset rel sedia, dan mengenalpasti koridor-koridor rel yang baru berdasarkan permintaan (demand management);
  • Penyediaan Pelan Transformasi Bas yang merangkumi perancangan rangkaian bas, infrastuktur dan operasi. Selain daripada itu, langkah-langkah bagi penambahbaikan perkhidmatan teksi di kenalpasti di dalam Pelan Transformasi Teksi; dan
  • Mengenalpasti Quick Wins bagi tujuan penambahbaikkan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam darat dalam jangkamasa pendek.

Kesemua inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di Lembah Klang khasnya dan akan memberi kesan positif ke atas sektor pengangkutan negara dalam jangka masa panjang.

Sekian, terima kasih.

Program Pemutihan dan Pengampunan PATI

July 12, 2011

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN NEGARA SESI JULAI 2011 

 

PERTANYAAN : BERTULIS

DARIPADA      : Y.B. SENATOR DR. S. RAMAKRISHNAN

TARIKH            : 11 JULAI 2011 (ISNIN) 

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan: 

(a)          adakah pintu masuk pendatang asing ke negara kita dikenal pasti dan adakah pintu masuk ini disekat memandangkan terdapat kira-kira 2 juta pendatang asing ketika ini; dan 

(b)          siapakah yang akan menanggung kos pelaksanaan “Program Pemutihan dan Pengampunan” untuk pendatang haram. Kebanjiran pendatang haram ini menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mengawal pintu masuk dan sempadan negara.

 

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Terima kasih saya ucapkan kepada Ahli Yang Berhormat Senator yang mengemukakan pertanyaan.

(a)          Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia dikawal di bawah Akta Imigresen 1959/63. Di bawah akta tersebut telah diperuntukan bahawa Menteri boleh mewartakan sesuatu tempat sebagai pintu masuk yang sah, dan sekiranya seseorang masuk atau keluar dari Malaysia tanpa melalui pintu masuk yang sah adalah melakukan suatu kesalahan di sisi Akta Imegresen 1959/63.

Mulai 1 Jun 2011 Kerajaan telah menguatkuasakan pengambilan biometrik warganegara asing di 69 pintu masuk negara. Pengambilan biometrik ini adalah melalui National Enforcement and Registration (Biometric) System (NERS). Pelaksanaan ini akan dibuat secara berfasa sehingga kesemua 96 pintu masuk negara dilengkapi dengan sistem NERS bagi tujuan menyokong agenda nasional dalam memantapkan pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan warganegara asing yang masuk, berada dan berlepas dari Malaysia.

(b)          Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan akan melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program 6P yang bertujuan untuk mendapatkan data dan rekod mengenai keberadaan serta jumlah sebenar PATI di negara ini. Di bawah program ini, PATI yang berada dalam negara dikehendaki keluar mendaftar dan diambil maklumat diri serta biometrik untuk tujuan rekod dan pemantauan. Menerusi Program 6P ini juga PATI yang berkelayakan akan boleh diregulisasikan menjadi pekerja asing yang sah atau boleh pulang ke negara asal atas kos sendiri tanpa dikenakan tindakan undang-undang. Program ini juga akan melibatkan pelaksanaan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran, bagi menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Bagi pelaksanaan Program Pemutihan dan Program Pengampunan yang merupakan sebahagian dari Program 6P akan melibatkan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan. Kos-kos yang perlu dibayar untuk pengambilan pekerja asing di bawah Program Pemutihan seperti bayaran levi, prelu ditanggung oleh majikan manakala bagi kos-kos di bawah Program Pengampunan seperti perolehan dokumen perjalanan dan tiket pulang, kos akan ditanggung sendiri oleh PATI. Dengan demikian, kos yang akan dibiayai oleh Kerajaan hanya meliputi perbelanjaan operasi.