Pelepasan nyamuk Aedes GM

26 April 2011

 

Soalan

 

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI KESIHATAN menyatakan:

(a)          mengapa selepas sebulan baru Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengeluarkan kenyataan bahawa nyamuk Aedes GM telah dilepaskan di Bentong, Pahang dan nyatakan tempat pelepasan lebih spesifik. Isu nyamuk GM Aedes telah menimbulkan kebimbangan dan kritikan masyarakat antarabangsa. Sepatutnya rakyat mesti dimaklumkan terhadap implikasi pelepasan tersebut; dan

(b)          siapakah yang akan bertanggungjawab jika terjadinya kesan-kesan yang akan memudaratkan kesihatan dan alam sekitar. Walaupun IMR menyatakan bahawa nyamuk tersebut dilepaskan di kawasan tiada penduduk, namun ia bukan alasan untuk pihak kementerian melakukannya tanpa memberikan gambaran yang jelas terutamanya kepada penduduk di kawasan Bentong.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

(a)          Untuk makluman, kajian pelepasan nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) telah dijalankan di Hutan Tanah Kerajaan Off Jalan Tentera, Bentong, Pahang telah mendapat kelulusan dari pihak-pihak tempatan (Bentong) sebelum kajian dijalankan. Pihak IMR telah memaklumkan mengenai pelepasan nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) dengan memberi penerangan mengenai kajian ini kepada orang awam Bentong di Majlis Perbandaran Bentong dan Dewan Balai Raya dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin pada 9 Disember 2010.

Berlanjutan dari ini juga, notis dalam bentuk poster yang mengandungi maklumat kajian dalam 4 bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, dan Bahasa Tamil) telah dipamerkan di tapak kajian selama 3 minggu sebelum kajian dijalankan, walaupun sebenarnya syarat yang ditetapkan  2 minggu. Pihak IMR telah mematuhi kesemua terma dan syarat seperti yang ditetapkan oleh pihak Lembaga Biokeselamatan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Kajian pelepasan nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menarik perhatian “Journal Nature” bertarikh 10 Februari 2011 iaitu jurnal saintifik berprestij tinggi yang mempunyai Faktor Impak yang tertinggi bernilai 34.48. jurnal tersebut telah menyatakan bahawa kajian yang telah dijalankan oleh pihak IMR adalah yang terbaik di mana pihak berkuasa Malaysia telah memberi liputan yang meluas kepada rakyat.

(b)          Matlamat utama penyelidikan pelepasan nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) di kawasan tidak berpenghuni di Bentong adalah untuk mengenalpasti penyebaran dan jangka hayat nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A). Pihak IMR telah mengemukakan laporan hasil penyelidikan yang terperinci ke pihak Lembaga Biokeselamatan Negara. Hasil penyelidikan mendapati bahawa jarak penerbangan nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) ialah 220 meter berbanding dengan nyamuk aegpti jenis liar yang terbang  sejauh 223 meter. Dari segi jangka hayat pula, nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A)berkemampuan untuk hidup di lapangan selama 2 hari berbanding dengan nyamuk aegypti jenis liar yang mempunyai jangka hayat selama 2.2 hari di lapangan. Kajian ini telah menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan di antara nyamuk GM dan nyamuk liar dari segi jarak penerbangan dan jangka hayat.

Nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) yang telah dilepaskan di kawasan yang tidak berpenghuni telah ditangkap semula sehingga tiada nyamuk jantan Aedes GM (Aedes aegypti strain OX513A) dijumpai dalam tempoh 3 hari berturutan. Langkah-langkah keselamtan telah pun diambil selepas kajian selesai seperti semburan asap (fogging) sebanyak 2 kali iaitu pada 6 Januari dan 18 Januari 2011. Pemantauan secara rapi dengan menggunakan ovitrap selama 2 bulan di kawasan kajian menujukkan tiada kesan residual mahupun strain aegypti OX153A tidak akan dapat hidup di persekitaran kerana ia mempunyai konstruk gen maut yang menghadkan dirinya untuk terus hidup.

Kami ingin menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sangat prihatin dan mengambil berat mengenai isu-isu melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat, alam sekitar, dan kepelbagaian biologi di negara ini.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: