Pengasingan sampah mengikut kategori pada tahun 2013

25 April 2011

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan:

(a)          menjelang 2013 kerajaan akan mewajibkan isi rumah di negara ini mengasingkan sampah kepada dua kategori iaitu bahan yang boleh dikitar semula dan sisa pepejal sebelum dikutip pihak berkuasa. Apakah pelan tindakan yang kerajaan lakukan bagi memastikan bahawa usaha ini akan berjaya mendidik rakyat supaya mengitar semula; dan

(b)          adakah ia dapat menangani masalah kekurangan tempat pelupusan sampah memandangkan semakin hari jumlah sampah isi rumah di negara ini semakin meningkat.

 

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Tuan Yang di-Pertua terlebih dahulu izinkan saya untuk menjawab bersekali pertanyaan daripada Yang Berhormat Senator Dr. S. Ramakrishnan dengan pertanyaan-pertanyaan daripada Ahli Yang Berhormat  Senator seperti berikut kerana ia menyentuh isu yang sama iaitu pengurusan sisa pepejal negara.  Pertanyaan-pertanyaan yang dimaksudkan adalah:

  1. Pertanyaan Yang Berhormat Senator Datuk Haji Rizuan bin Abd. Hamid yang dijadualkan pada hari ini;
  2. Pertanyaan Yang Berhormat Senator Puan Hajah Noriah binti Mahat dan Yang Berhormat Senator Tan Sri Datuk Tee Hock  Seng yang dijadualkan pada 26 April; dan
  3. Pertanyaan Yang Berhormat Senator Dr. Malasingam a/l Muthukumaru dan Yang Berhormat Senator Datuk Haji Rizuan bin Abd. Hamid yang dijadualkan pada 27 April.

Kerajaan sememangnya sedar bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula masih rendah.  Oleh yang demikian usaha untuk mengubah dan mengajak minda rakyat melalui pelbagai kempen dan program kesedaran sentiasa dijalankan. Pelbagai aktiviti kitar semula atau 3R dengan izin, reduce, reuse, recycle telah dilaksanakan kementerian melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Langkah-langkah ini adalah penting kerana dengan merancakkan aktiviti ekonomi peningkatan populasi dan kekurangan tanah untuk pelupusan sisa pepejal. Masyarakat perlu mengurangkan penggunaan sisa pepejal.   Oleh itu kerajaan dijangka akan mewajibkan pengasingan sisa dan punca oleh setiap isi rumah selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dikuatkuasakan kelak.

Langkah ini dijangka akan meningkatkan lagi kadar kitar semula di kalangan masyarakat menggunakan penggunaan sisa pepejal dan seterusnya  meningkatkan lagi jangka hayat 176 tapak-tapak pelupusan sisa pepejal yang sedia ada. Kerajaan akur bahawa adalah penting untuk memastikan supaya tempat pelupusan sampah adalah mesra alam dan efektif. Sehubungan dengan itu kerajaan hanya membangunkan tapak pelupusan sanitari yang dilengkapi dengan loji rawatan leached supaya leached yang dilepaskan menepati piawaian yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar dan tidak mencemarkan sungai dan sumber air. Tapak-tapak tidak sanitari tidak dikenal pasti mencemarkan alam sekitar pula akan ditutup selamat. Setakat ini sebanyak 17 tapak pelupusan tidak sanitari sedang ditutup selamat manakala 32 tapak tidak sanitari yang sedang beroperasi sedang  di naik taraf untuk menangani isu alam sekitar dan melindungi kesihatan awam.

Kementerian sememangnya prihatin mengenai mutu perkhidmatan syarikat-syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal termasuk syarikat Alam Flora. Sungguhpun begitu terdapat beberapa kekangan berikutan kaedah penswastaan interim yang diamalkan buat masa ini. Ini seterusnya menyukarkan pihak syarikat untuk mendapatkan sumber kewangan baru bagi membeli kenderaan-kenderaan dan peralatan serta menambah tenaga kerja sedia ada yang diperlukan. Kementerian percaya dan yakin bahawa masalah tersebut akan dapat diatasi bila penguat kuasa Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang akan dilaksanakan kelak seterusnya membolehkan KPI dikenakan bagi menilai keberkesanan syarikat-syarikat konsesi ini lebih teratur dan lebih efektif. Adalah menjadi hasrat kerajaan agar usaha-usaha ini akan memberikan manfaat yang semaksimum kepada seluruh pelosok rakyat. Terima kasih.

Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk kurangkan sisa pepejal salah satu cara ialah kurangkan juga bekalan pepejal. Soalan saya berikut ialah apakah galakan yang diberi kepada pengguna dan pemilik kedai untuk menggunakan beg yang boleh di kitar semula. Adakah insentif-insentif yang disediakan dan diberi? Soalan kedua ialah sisa organik atau sisa yang berasal dari makanan di pasar raya ataupun di pasar wet market dengan mudah boleh ditukar kepada baja tanpa kos pelaburan yang besar. Adakah kerajaan akan menggalakkan supaya sisa organik atau makanan ini ditukar kepada baja secara meluas? Terima kasih.

Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin:  Terima kasih Yang Berhormat. Soalan pertama, setakat ini kementerian tidak ada cadangan untuk mengadakan insentif kepada mana-mana kedai runcit ataupun gedung-gedung besar. Akan tetapi ada di sebahagian PBT misalnya di PBT-PBT yang besar-besar di majlis perbandaran atau bandar raya mereka mempunyai inisiatif sendiri untuk mengadakan potongan bayaran lesen, potongan pelbagai bayaran dan sebagainya. Akan tetapi setakat ini kementerian tidak ada, belum ada apa-apa cadangan untuk menyediakan inisiatif ataupun insentif kepada mereka-mereka yang tidak ataupun menggunakan beg plastik yang boleh di kitar semula.

Bagi soalan yang kedua iaitu kompos. Memang kita galakkan. Ada beberapa peniaga di sekitar Putrajaya telah pun mulakan program ini dan mendapat sambutan. Kita akan terus memberikan galakan dan satu ketika dahulu daripada sejak tahun 2007 sehingga tahun 2010 ada private initiative daripada pihak-pihak yang ingin cuba untuk membantu kerajaan untuk mempromosikan tentang penjanaan baja kompos daripada sisa pepejal. Terima kasih.

Tuan Haji Ahamat @ Ahamad bin Yusop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ini begini ya Timbalan Menteri. Di negeri Johor ada beberapa perancangan kementerian untuk membina pusat-pusat pelupusan sisa pepejal yang masih belum  dilaksanakan.  Umpamanya di Muar, Johor Bahru dan beberapa tempat tertangguh sekian lama yang menyebabkan masalah dan kerumitan lebih-lebih lagi kepada PBT yang bertaraf majlis daerah. PBT ini ada tiga Tuan Yang di-Pertua, satu majlis bandar raya, satu majlis perbandaran yang paling miskin sekali ialah majlis daerah.  Kalau Johor yang PBT bertaraf majlis daerah ada lima atau enam daripada sepuluh. Jadi apakah langkah yang perlu dibuat atau rancangan kementerian untuk mempercepatkan tempat-tempat pelupusan sisa pepejal ini. Kedua, saya pernah berkhidmat dalam Majlis Perbandaran Johor, lama juga sebagai Ahli Majlis. Kos pelupusan sisa pepejal ini ataupun penswastaan pelupusan sisa pepejal ini yang diberikan kepada, tidak kira Alam Flora ataupun SWM kalau di selatan, Southern Waste Management. Ia bertugas hanya mengangkat sampah itu sahaja dan hantar kepada tempat pelupusan sisa pepejal. Selepas itu, tanggungjawab sama ada landfill  ataupun melupuskan, membakar sisa pepejal itu adalah tanggungjawab kerajaan balik semula kepada PBT. Jadi maknanya penswastaan ini tidak lengkap. Jadi saya minta kementerian dalam hal ini menyemak semula perjanjian antara pihak yang mendapat penswastaan tadi dengan PBT sebab pada akhirnya PBT menanggung kos untuk membakar sampah itu, mencari landfill dan sebagainya. Apa pandangan Yang Berhormat. Terima kasih.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin]: Terima kasih Yang Berhormat. Soalan pertama, memang saya menyedari bahawa ada beberapa kekangan tentang pemindahan beberapa landfill di negeri Johor terutama sekali di kawasan Pagoh dan juga beberapa kawasan lagi. Namun demikian, pada Rancangan Malaysia Kesepuluh kita telah menyediakan peruntukan dan setelah kajian selesai, terutama sekali di kawasan Pagoh apabila kajian telah selesai kerana ada diperlukan kajian secara mendalam supaya tidak memberikan satu impak kepada penduduk di sekitar Pagoh. Jadi oleh itu setelah kajian diselesaikan dan secepat mungkin, kita akan laksanakan pemindahan pusat pelupusan sampah di Pagoh dan juga di kawasan majlis perbandaran dan di kawasan majlis daerah.

Bagi penswastaan, buat masa ini sistemnya adalah sistem  interim di mana pihak tiga konsesi ini mereka terus sahaja berunding kepada semua PBT di kawasan ataupun di negeri masing-masing. Kita belum lagi mempunyai satu tanggungjawab ataupun  responsibility dengan izin, untuk menentukan kaedahnya, tetapi selepas penswastaan penuh ini maka pihak kementerian dan Kerajaan Persekutuan akan menentukan tentang kaedah apakah yang akan dilakukan oleh pihak  tiga  konsesi sama ada mereka ini hanya mengutip sampah, pembersihan awam atau terus melaksanakan mengenai dengan penutupan selamat dan juga membakar sampah di kawasan tempat pelupusan sampah.

Jadi untuk masa kini, saya tidak dapat memberikan satu keputusan oleh kerana penswastaan pun telah ditangguhkan sehingga pada 30 April ini dan kemungkinan juga akan ditangguhkan lagi oleh kerana ada di antara negeri-negeri yang belum bersedia. Mereka mahu untuk menerima penswastaan tetapi belum bersedia oleh kerana ada beberapa lagi perlu dibincangkan secara lanjut dengan pihak Kerajaan Pusat. Terima kasih.

Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: