Archive for April 2011

Ucapan Rang Undang-undang Timbang Tara 2010

April 29, 2011

Tuan Yang Di-Pertua Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan ini yang saya hormati,

Izinkan saya untuk  membahas pindaan kepada Akta Timbang Tara iaitu Arbitration (Amendment Act 2010).

Tuan Yang Di-Pertua,

Pindaan kepada kepada Seksyen 8 Akta utama amat membimbangkan saya kerana ianya dengan jelas menghadkan hak pihak –pihak yang terlibat dalam pertikaian, akses kepada keadilan di Mahkamah biasa.

Pindaan ini dinyatakan didalam RUU:

Takat campur tangan mahkamah

8. Tiada Mahkamah boleh campur tangan dalam pekara yang dikawal oleh Akta ini, kecuali jika diperuntukan sedemikian dalam Akta ini.

Akses kepada keadilan adalah satu hak yang dilindungi oleh Perlembagaan kita dan hak ini perlu di pelihara dan dihormati oleh Dewan yang mulia ini.

Maka saya mohon untuk betul-betul berfikir sebelum memperbetulkan atau membuat pindaan khususnya mengenai Seksyen 8 kerana ianya boleh menjurus kepada pelanggaran undang-undang Perlembagaan kita yang jelas melindungi hak akses kepada keadilan.

Saya menyatakan sedemikian kerana Mahkamah Tinggi kita perlu diberikan kuasa mutlak untuk menyemak keputusan-keputusan yang dibuat oleh seorang ‘Arbitrator’ terutamanya dimana terdapat elemen penipuan atau fraud dan kekhilafan undang-undang dan fakta yang ketara di sebelah pihak yang membuat keputusan dan elemen-elemen berat sebelah iaitu “biasness”.

Oleh yang demikian saya memohon menyemak semula rang undang-undang dengan teliti khususnya mengenai Seksyen 8 kerana dalam kes Lee Kwan Woh Mahkamah Persekutuan kita di Putrajaya (Mahkamah Rayuan yang tertinggi di Malaysia) telah memberikan satu intepretasi yang agak lebar tentang hak-hak fundamental didalam Bahagian 2 Perlembagaan kita yang cukup untuk merangkumi hak akses kepada keadilan.

Di sini Yang Di-Pertua, saya ingin mengambil peluang ini untuk mencadangkan satu undang-undang baru digubal oleh Parlimen kita iaitu ‘Arbitration Fairness Act’ bagi menbendung atau mengharamkan terma-terma ‘mandatory binding arbitration clauses’ dalam mana-mana kontrak atau perjanjian komersial di mana transaksi diantara pihak-pihak menjurus kepada ‘unequal bargaining power’, kontrak insuran, kontrak perumahan, kontrak konsumer, perjanjian franchise, hak-hak sivil atau perjanjian pekerjaan. Terma sebegini menegah mana-mana parti membawa tindakan untuk pampasan di Mahkamah dan secara kebiasaan ada juga terma yang memberi kuasa mutlak kepada satu parti untuk memilih ‘arbitrator’ yang disukai oleh mereka.

Saya menyeru pihak Jabatan Peguam Negara mengkaji undang-undang ini yang telah di perkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 2009 bagi mengkaji samada undang-undang sebegini sesuai untuk diperkenalkan di Malaysia.


Sekian Terima kasih

Advertisements

Ucapan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2010

April 29, 2011

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu yang telah disebut-sebutkan oleh kerajaan sejak RMK 8.

Saya minta kerajaan dapat mengkaji semula sasaran Negara sebanyak 2,000 megawatt pada tahun 2020 tersebut dan meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia memang serius dari pembangunan teknologi hijau, khususnya sasaran penjanaan tenaga solar pada tahun 2020. Kita perlu lebih agresif di dalam aspek ini, memandangkan Malaysia kini merupakan Negara pengeluar teknologi solar yang ketiga terbesar di dunia.

Adalah bijaksana Menteri menunjukkan loji-loji yang berpotensi (kilang kelapa sawit, loji Cogeneration industri, kilang padi, industri kayu, kilang gula, hidro kecil dan loji tenaga suria masa depan) yang dikenalpasti untuk dibangunkan di bawah pelbagai teknologi menggunakan skim Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baru. Pelan induk pembangunan grid dengan laluan grid ditunjukkan untuk menuai tenaga dari penjanaan yang disebarkan juga harus didedahkan bagi perundingan awam. Dengan maklumat di atas, masyarakat akan berasa digalakkan untuk menghargai apa yang mereka akan bayar dan sertai sepenuh hati dalam pengenalan tenaga boleh diperbaharui.

Akses grid tenaga harus dibuat bagi memudahkan untuk digunakan kepada sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui yang dikenalpasti dan terma syarat bekalan harus munasabah untuk industri proses. Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah memperkenalkan konsep “Kewajipan Boleh diperbaharui”, sangat berjaya di UK, di mana kewajipan dikenakan ke atas pemegang lesen pengedaran bagi sumber tertentu dan kadar kenaikan tahunan jualan tenaga elektrik mereka dari sumber-sumber yang boleh diperbaharui, atau membayar penalti, dalam hal ini pemegang lesen pengedaran akan dimotivasikan untuk meneruskan sebagai pembekal tenaga boleh diperbaharui dengan syarat-syarat bekalan yang harus dipatuhi.

Kecekapan operasi bagi pelbagai teknologi tenaga boleh diperbaharui harus menjadi subjek penting yang terkandung dalam Akta Tenaga Boleh Baru. Akta tersebut akan mendapat kesan yang mustahil dan oleh kerana itu penyertaan awam penting bagi merasai pemilikan dan kejayaannya. Mana-mana teknologi yang tidak menunjukkan persamaan grid dalam tempoh 7-10 tahun seharusnya tidak dibenarkan subsidi awam dan kerana itu peraturan seharusnya tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam operasi. Ini merujuk kepada objektif Tarif Galakan (Feed-in-Tariff) untuk teknologi memulakan teknologi bagi tujuan kemahiran dan pembelajaran sehingga kos turun ke tahap yang munasabah. Jika perlu, dana khas boleh diperuntukkan oleh kerajaan untuk tujuan kemahiran dan pembelajaran.

Pembangunan grid tenaga untuk menuai tenaga boleh diperbaharui dengan cara penjanaan diedarkan di dalam negara disebabkan trend masa depan harus diambil sebagai langkah berasingan oleh kerajaan, bukan melalui skim subsidi Tarif Galakan (Feed-in-Tariff). Sebaliknya, ini boleh berakhir sebagai pembangunan grid tenaga tidak sistematik tanpa skim yang diselaraskan.

Satu lagi perkara yang saya ingin sebut juga ialah tentang SEDA (Sustainable Energy Development Authority), di mana satu peratus akan dikenakan ke atas semua bil-bil elektrik sebagai satu tarif untuk SEDA. Saya khuatir bahawa ini akan memberikan impak dan kesan daripada pengguna-pengguna elektrik yang akan membayar satu peratus ini? Apakah kebaikan yang kita boleh perolehi dan adakah ini munasabah untuk mengenakan kadar ini sedangkan gas subsidi diberikan kepada IPP yang dapat meraut atau meraih keuntungan yang besar? Mengapakah satu peratus tarif ini harus dikenakan kepada 44 peratus pengguna-pengguna elektrik? Tidakkah pihak Kerajaan Persekutuan menimbang, mendapat sumbangan daripada potonga subsidi kepada IPP. Saya rasa dengan gas subsidi ini mereka memang mampu untuk membayarnya.

Mengenai kemajuan mini hydro di Sarawak kenapa ia tidak dilaksanakan secara luas dalam SCORE di Sarawak? Sarawak ada kawasan lapang besar, matahari, sungai, hutan dan sebagainya. Tapi kerajaan membelanja lebih kurang 12 billion ringgit untuk membina empangan Bakun dan memindahkan orang yang bergantong kapada hutan kepada kawasan tidak berhutan.

Apakah takrifan tenaga nuklear? Adakah ia dianggap sebagai satu sumber tenaga boleh baru. On one side maju tenaga boleh baru dan on the other side kita juga maju tenaga nuclear. Boleh kah Negara kita menuju kea rah tenaga boleh baru saja.

Ucapan Rang Undang-Undang Juruanalisis Makanan 2010

April 29, 2011

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang untuk saya turut berbahas Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan ini.

Bolehkan ahli kimia yang berdaftar di bawah Akta Kimia 1975 secara automatik menjadi juruanalisis makanan?

Selain itu, saya juga ingin mempersoalkan mengenai Seksyen 37 berkaitan dengan pelantikan pegawai oleh menteri dan Seksyen 38 berkaitan dengan kuasa untuk memasuki premis, memeriksa dan menyita dokumen, dan sebagainya. Seksyen ini menyatakan bahawa seseorang pegawai diberi kuasa boleh, pada bila-bila masa, memasuki mana-mana premis di mana seseorang juruanalisis makanan berdaftar sedang menjalankan amalan menganalisis makanan. Saya mencadangkan supaya akta ini menetapkan sesiapa yang memasuki sesuatu premis perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas seseorang juruanalisis makanan.

Saya ingin menyentuh mengenai Seksyen 23 rang undang-undang ini yang berkenaan dengan bidang kuasa tatatertib Majlis. Siasatan yang telus dan adil harus dijalankan sebelum seseorang juruanalisis dibuktikan bersalah terutama bagi kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak. Saya juga minta bahawa sesiapa yang didakwa dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di atas kesalahan yang dilakukannya.

Saya berharap rang undang-undang ini dapat memastikan hanya mereka yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang secukupnya dapat mengamalkan tanggung-jawab Juruanalisis Makanan. Adakah seseorang yang tidak mempunyai kelayakan seperti yang terkandung dalam Akta Juruanalisis Makanan ini untuk mendaftar sebagai juruanalisi makanan? Siapakah pula yang mengiktiraf kelayakan juruanalisis makanan ini? Adakah mana-mana IPTA dan IPTS yang menawarkan kursus ijazah yang berkaitan dengan juruanalisis makanan? Sehingga kini adakah bilangan juruanalisis makanan yang berdaftar?

Terbaru isu makanan di kantin sekolah hangat diperkatakan ketika ini yang menjadi penyebab obesiti di kalangan pelajar sekolah dipaparkan di media, boleh kata hampir setiap hari terpapar ulasan Menteri yang berkenaan dan pakar pemakanan dan kesihatan tentang isu ni. Soalan saya apakah peranan juruanalisis makanan berkenaan isu tersebut? Dengan pelbagai ulasan dan pendapat yang dipaparkan sekarang ni, adakah terbukti makanan-makanan yang dijual di kantin-kantin sekolah sekarang ni adalah punca pelajar menjadi obese?

Di samping itu, saya juga ingin mengingatkan agar dengan pengenalan rang undang-undang ini, juruanalisis makanan yang dilantik akan memainkan peranan dengan baik dalam memastikan makanan yang diproses dan dikeluarkan oleh pihak-pihak terbabit itu dihasilkan dengan cara yang betul dan terjamin dari bahan-bahan merbahaya. Juruanalisis makanan juga perlu memastikan makanan yang diimport dari luar negara terjamin kualitinya dan selamat untuk dimakan terutama yang diimport dari Jepun yang pada masa ini kita sedia maklum bahawa kesan radiasi akibat kebocoran loji nuklear sangat berbahaya kepada kesihatan manusia. Selain itu, juruanalisis makanan juga perlu memastikan sayur-sayuran dan juga buah-buahan yang dijual bebas daripada racun serangga kerana semburan racun serangga yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan.

Adakah akta ini sama seperti agensi makanan dan dadah di US?

Tuntutan harta pusaka

April 29, 2011

27 April 2011

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI KEWANGAN menyatakan mengapa mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan setiap tuntutan harta pusaka dan apakah pelan tindakan kerajaan bagi memendekkan tempoh masa untuk menyelesaikan setiap tuntutan berkenaan. Ini kerana laporan akhbar menyatakan lebih RM4 bilion yang masih belum dituntut oleh pewaris.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Kerajaan sentiasa memainkan peranan penting dalam pengurusan pentadbiran harta pusaka di negara ini. Kerajaan sentiasa memastikan harta pusaka si mati tidak terbiar dan dapat dimanfaatkan oleh waris.

Agensi yang terlibat dalam pengurusan harta pusaka hanya boleh bertindak atas permohonan yang dikemukakan oleh waris untuk mentadbir dan menbahagi pusaka kepada semua pihak yang layak. Tempoh menyelesaikan sesuatu kes adalah bergantung kepada kompleksiti dan penerimaan waris terhadap cara pembahagian pusaka. Kes-kes yang mudah hanya mengambil masa yang lebih pendek untuk diselesaikan manakala kes-kes yang lebih kompleks mengambil masa yang lebih lama.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan agensi-agensi terbabit. Antara tindakan-tindakan yang telah diambil untuk memendekkan tempoh masa dalam menyelesaikan sesuatu kes ialah menambahbaik proses kerja secara berterusan, mewujudkan  hubungan rapat dan saling membantu antara jabatan dan agensi yang terlibat dengan tuntutan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad, Mahkamah, Pejabat Tanah, KWSP, PNB, JPN, JPJ, JPPH, Tabung Haji, dan lain-lain termasuk pihak swasta seperti bank-bank. Dengan hubungan yang erat ini, pengurusan harta pusaka dapat dibuat dengan lebih baik dan berkesan.

Nasib golongan transeksual

April 29, 2011

27 April 2011

 

Soalan

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA, DAN MASYARAKAT menyatakan:

(a)          nyatakan statistik transeksual di Malaysia mengikut kaum dan negeri; dan

(b)          adakah kerajaan menerima kewujudan golongan ini dan memberi layanan yang adil kepada mereka terutama dari segi pekerjaan. Apakah tindakan kerajaan bagi menyedarkan orang ramai supaya menerima kewujudan golongan transeksual ini dalam masyarakat. Oleh kerana golongan ini sukar mendapatkan pekerjaan, kebanyakan mereka terpaksa menjadi pekerja seks demi untuk kelangsungan hidup.

Jawapan


Tuan Yang Di-Pertua,

(a)          Kerajaan memandang serius fenomena rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sebagai transeksual. Gaya hidup ini bukan merupakan corak kehidupan kita dan bertentangan dengan ajaran agama serta nilai hidup masyarakat negara ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat tidak mempunyai statistik mengenai bilangan rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup transeksual kerana kebanyakan daripada golongan ini tidak berani tampil mendedahkan identity sebenar diri mereka.

Walaubagaimanapun, Bengkel Konsensus Kebangsaan ‘Estimation and Projection of the HIV’ yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan bantuan pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26-29 Mei 2009, Expert Group Opinion on Estimation of Most at Risk Populations (MARPs) menganggarkan terdapat seramai 173,000 gay, 50,000 pekerja seks perempuan, 5,000 pekerja seks lelaki dan 5,000 transeksual di Malaysia.

Menurut Prof. Dr. Teh Yik Koon, berdasarkan anggaran yang dibuat oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Pink Triangle Foundation terdapat 10,000 Mak Nyah di Malaysia di mana 50.7% adalah Melayu, 27.5% Cina, 7.8% India dan 14% adalah daripada lain-lain kumpulan etnik minoriti (Teh, 1998:169). Sehingga kini, tiada sebarang data yang menunjukkan bahawa mak nyah di negara ini menyara hidup dengan menjadi pekerja seks.

(b)          Hak asasi golongan transgender untuk hidup sebagai manusia biasa (human rights) tidak dinafikan. Golongan ini masih berpeluang mendapat pekerjaan sekiranya mereka berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh majikan.

Kerajaan masih menyediakan perkhidmatan sokongan sosial bagi membantu golongan ini terutamanya kepada yang ingin kembali ke pangkal jalan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat dengan kerjasama sebuah pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah menubuhkan Pusat Bantuan Khidmat Sosial (PBKS) di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. Tujuan penubuhan pusat ini adalah untuk membantu tiga golongan yang berisiko dijangkiti HIV/AIDS iaitu orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA), pekerja seks wanita dan transgender (Mak Nyah). Antara perkhidmatan yang disediakan di PBKS ialah kaunseling, rujukan kepada agensi-agensi berkaitan (seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Kerja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Baitulmal dan Pusat Zakat), pusat persinggahan (drop-in centre) dan pendampingan (outreach). Kerjasama yang erat juga dibentuk dengan agensi-agensi Kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi melengkapkan perkhidmatan sosial kepada golongan ini.

Kitab Injil yang diimport

April 29, 2011

27 April 2011

 

Soalan

 

Dr. S. Ramakrishnan minta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa kementerian meletakkan syarat bahawa semua kitab Injil yang diimport dari luar negara perlu diletakkan nombor siri dan dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja” yang dilihat menghina kesucian kitab berkenaan. Sedangkan kitab sebelum ini tiada nombor siri dan cop seperti itu. Baru-baru ini kerajaan telah mengharamkan kemasukan kitab Injil yang dibawa dari Indonesia.

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan soalan.

Untuk pengetahuan Y.B., Kementeria Dalam Negeri telah membuat keputusan membenarkan kemasukan dan pengedaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia tanpa apa-apa syarat di Sabah dan Sarawak.

Namun demikian, kitab bible yang menggunakan Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia yang diedarkan di Semenanjung  Malaysia perlu dicetak “Penerbitan Buku Kristian” dan diletakkan tanda salib.

Pendekatan menggunakan cap dan nombor siri terhadap kitab Injil yang diimport tersebut adalah prosedur rasmi yang pernah dilaksanakan sejak tahun 2005 dan bukanlah bertujuan mencemar atau menghina kesucian kitab Injil berkenaan, tetapi adalah bagi memelihara keharmonian kaum dan agama di negara ini, agar tidak timbul sensitiviti agama sehingga boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Penghargaan kepada Tan Sri B.C. Sekhar

April 29, 2011

Soalan

 

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan apakah penghargaan yang kerajaan Malaysia berikan di atas sumbangan dan jasa Tan Sri B.C. Sekhar dalam pembangunan industri getah di negara ini kerana sumbangan beliau dalam industri getah negara sangat besar.

Jawapan

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Y. Bhg, Tan Sri B.C. Sekhar merupakan ikon kepada pembangunan industri getah di negara kita. Antara penghargaan yang diberikan atas jasa dan sumbangan beliau adalah:

(i)                 Penganugerahan gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong;

(ii)               Penerbitan buku biografi Tan Sri B.C. Sekhar oleh Akademi Sains; dan

(iii)             Penganjuran Memorial Public Lecture 2008 pada 17 Januari 2008 oleh Akademi Sains Malaysia yang telah dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, pihak luar juga turut memberikan pelbagai bentuk penghargaan kepada beliau. Sebagai contoh, Universiti St. Andrews di Scotland, telah menamakan Fakulti Sains dan Perubatan mereka sempena nama Y. Bhg. Tan Sri B.C. Sekhar.