Dewan Negara Sesi Disember 2011 – Peratusan peruntukan pendidikan
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN
DEWAN NEGARA SESI DISEMBER 2011
PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA : DR. S. RAMAKRISHNAN
SOALAN:
Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI PELAJARAN menyatakan:
(a) peratusan peruntukan pendidikan yang telah diagihkan untuk pembiayaan pendidikan sekolah Tamil, Cina dan kebangsaan merujuk kepada Bajet Negara tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011; dan
(b) apakah tindakan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah Tamil dan Cina yang selalu mengadu kekurangan guru-guru terlatih.
JAWAPAN:
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
(a) Dari tahun 2008 hingga 2011, peruntukan pembangunan yang telah diagihkan kepada sekolah bantuan Kerajaan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebanyak RM236.1 juta, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM186 juta. Manakala dalam tempoh tersebut Sekolah Kebangsaan (SK) telah diperuntukan sebanyak RM4.5 bilion.
(b) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa merancang dari semasa ke semasa untuk memastikan keperluan bekalan guru mencukupi bagi semua jenis sekolah sama ada di peringkat rendah ataupun menengah. Unjuran keperluan guru dibuat dengan mengambil kira keperluan pelbagai jenis aliran sekolah termasuklah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Justeru, pelbagai program latihan perguruan jangka pendek dan jangka panjang seperti Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Diploma Pendidikan, dan Kursus Dalam Cuti dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pendidikan Guru bagi membekalkan guru terlatih bagi semua opsyen di semua yang memerlukan guru.