Peningkatan kes bunuh diri di kalangan golongan muda

28 April 2011

 

Soalan

 

Dr. S. Ramakrishnan minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah pelan tindakan kerajaan bagi menangani kes bunuh diri di kalangan golongan muda yang semakin membimbangkan serta nyatakan statistik mengikut kaum dan jantina. Golongan muda ini banyak terpengaruh dan terdedah kepada media sosial seperti Facebook, blogspot, Youtube, dan sebagainya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Registri Bunuh Diri Kebangsaan atau National Suicide Registry Malaysia (NSRM) yang telah ditubuhkan semenjak tahun 2007 melaporkan bahawa dari tahun 2007 sehingga 2009, sebanyak 731 kes bunuh diri telah didaftarkan (113 kes dalam tahun 2007); 290 kes dalam tahun 2008; dan 328 kes dalam tahun 2009). Registri juga turut melaporkan bahawa dalam tahun 2008, jumlah kes bunuh diri adalah paling tinggi di kalangan individu berumur antara 20 – 29 tahun (27.2% atau 75 kes) manakala dalam tahun 2009, kes adalah paling tinggi di kalangan individu berumur 25 – 34 tahun (23.8% atau 78 kes). Dari segi pecahan kaum, adalah didapati bahawa kaum etnik Cina menyumbang kepada peratusan kes bunuh diri paling tinggi (iaitu 54% tahun 2008, dan 45.7% tahun 2009) dan seterusnya kaum Melayu (14% tahun 2008 dan 12.3% tahun 2008). Dari sedi jantina pula, 75% adalah lelaki dan 25% kes adalah perempuan dengan nisbah lelaki:perempuan sebanyak 3:1.

Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli-ahli Dewan, Kementerian Kesihatan amat mengambil berat dan komited untuk menangani permasalahan tingkah laku bunuh diri yang sering dipaparkan pihak media kebelakangan ini. untuk itu, Tindakan Strategik Kebangsaan Pencegahan Bunuh Diri yang menggariskan tujuh (7) strategi utama bagi menangani permasalahan bunuh diri di kalangan masyarakat Malaysia. Strategi-strategi yang digariskan adalah Promosi Kesihatan Mental, meningkatkan pengesanan awal dan rawatan komprehensif penyakit mental termasuk kemurungan, meningkatkan kerjasama di antara agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan, meningkatkan pembangunan modal insan, meningkatkan penyelidikan tentang tingkah laku bunuh diri, menggalakkan cara pelaporan media yang betul tentang bunuh diri dan memantapkan lagi sistem surveilan bagi mengumpul data bunuh diri.

Kementerian Kesihatan juga sedar bahawa dalam arus pembangunan negara ke arah mencapai kemajuan, masyarakat berkemungkinan menghadapi stres psikososial akibat daripada faktor-faktor seperti persaingan kehidupan, kedudukan kewangan yang tidak stabil, tragedy dan kegagalan hidup, masalah perhubungan interpersonal dan sekiranya tidak mempunyai kemahiran daya tindak yang bersesuaian, ia boleh membawa kepada permasalahan kesihatan mental, penyakit mental dan perbuatan menamatkan riwayat hidup jika tiada jalan penyelesaian. Justeru, bagi mengatasi ini, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan perkara-perkara berikut:

(a)   Meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga kesihatan mental melalui aktiviti-aktiviti promosi iaitu pemerkasaan komuniti yang memfokuskan kepada memberi kemahiran daya tindak (coping skills) kepada masyarakat menangani stres dan cabaran kehidupan sehari-hari, mengadakan forum awam, seminar, ceramah di media massa dan penulisan artikel di media cetak. aktiviti-aktiviti promosi juga dilaksanakan melalui kempen Cara Hidup Sihat dan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

(b)   Buat masa ini, Kementerian Kesihatan tiada menawarkan perkhidmatan kaunseling telefon tetapi perkhidmatan ini ada ditawarkan oleh The Befrienders, salah satu badan bukan kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kaunseling percuma melalui telefon dan e-mel kepada individu yang mempunyai masalah emosi, murung, dan keinginan untuk membunuh diri. Badan ini mempunyai 7 cawangan di seluruh Malaysia dan dikendalikan oleh lebih dari 300 orang sukarelawan yang terlatih dalam aspek kaunseling. menyedari juga bahawa golongan muda banyak menggunakan media sosial seperti Facebook, Youtube, dan Twitter, pihak The Befrienders turut menawarkan perkhidmatan perbincangan dan kaunseling secara tertutup untuk golongan yang memerlukan melalui laman web facebook www.facebook.com/Befrienderskl

(c)    Memandangkan media memainkan peranan dari segi pelaporan kes bunuh diri, satu inisiatif telah dilakukan bagi membentuk Garis Panduan Pelaporan Media tentang Bunuh Diri di Malaysia untuk memberi panduan kepada media tentang cara pelaporan bunuh diri yang boleh mempengaruhi perlakuan ‘copycat suicide’ sekiranya kes dilaporkan di hadapan muka surat suratkhabar.

(d)   Memandangkan salah satu faktor penyebab bunuh diri adalah gangguan mental dan psikiatri seperti kemurungan dan skizofrenia, Garis panduan Amalan Klinikal Pengendalian Kemurungan dan Skizofrenia telah dibentuk bagi melatih anggota kesihatan mengenalpasti tanda-tanda awal penyakit mental. Kementerian juga sedang membangunkan Modul Latihan Pencegahan Bunuh Diri untuk anggota kesihatan bagi melatih mereka mengenalpasti tanda-tanda awal mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan tanda-tanda awal tingkahlaku bunuh diri.

(e)   Dari segi perkhidmatan perawatan psikiatri, sebanyak empat (4) buah institusi mental dan 42 hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia menawarkan perkhidmatan merawat pesakit mental dengan kepakaran seramai 124 pakar psikiatri. Selain itu, klinik-klinik kesihatan juga memberikan perkhidmatan saringan kesihatan mental untuk tahap stress, keresahan dan kemurungan dan intervensi bagi mereka yang dikenalpasti. usaha juga sedang dijalankan untuk meningkatkan pengambilan pegawai psikologi kaunseling bagi memberi perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat yang mendapatkan rawatan di fasililti kesihatan.

Tanggungjawab mempromosikan kesihatan mental dan mencegah permasalahan mental serta tingkahlaku bunuh diri tidak boleh diletakkan di bahu Kementerian Kesihatan sahaja. Masyarakat perlu bersama-sama mengambil bahagian melaksanakan aktiviti-aktiviti promosi kesihatan mental dan aktiviti kemasyarakatan bagi memperkasakan masyarakat dengan kemahiran dayatindak menghadapi cabaran hidup seharian. Ini adalah kerana melalui peningkatan kesedaran awam tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental, kepekaan masyarakat terhadap orang di sekeliling yang mempunyai tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan membawa mereka mendapatkan rawatan awal dapat mencegah masalah kesihatan mental menjadi lebih buruk dan mencegah bunuh diri.

Explore posts in the same categories: Parliament

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: